Isu Tanah: Dr Aziz Sifatkan Propaganda Jahat Pihak Tidak Bertanggungjawab

Reading Time: 2 minutes

IPOH: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tebing Tinggi, Dr Abdul Aziz Bari menyifatkan tohmahan kononnya beliau mendesak Menteri Besar untuk memberikan pajakan tanah 999 tahun kepada kaum Cina sebagai propaganda jahat pihak tidak bertanggungjawab.

Sehuhungan itu beliau meminta pihak berkenaan dan juga pihak media yang berarus pembangkang supaya tidak terus memanipulasikan lagi isu ini.

“Semalam juga Menteri Besar telah mengesahkan tidak ada sebarang tekanan daripada mana-mana pihak berhubung soal tanah ini.

“Jadi tohmahan mengenai saya mendesak Menteri Besar untuk memberikan tanah kepada kaum Cina ternyata hanyalah propaganda jahat pihak tidak bertanggungjawab,’’ kata Dr Abdul Aziz.

Beliau seterus menjelaskan, janji manifesto Pakatan Harapan (PH) Perak berkaitan pemberian pajakan tanah 999 tahun turut membabitkan tanah orang Melayu di Kampung Tersusun dan peneroka FELDA. Sambil menafikan dakwaan kononnya beliau pejuang masyarakat Cina dalam isu itu, Abdul Aziz yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Alam Sekitar, Sains dan Teknologi berkata sentimen sengaja dimainkan pihak tidak bertanggungjawab dengan mengabaikan pemberian kepada orang Melayu.

“Saya bukanlah pejuang bagi masyarakat Cina dalam mendesak isu pajakan 999 tahun tanah Kampung Baru di Perak.”

“Manifesto PH (Perak) di bawah teras ketiga iaitu ‘keadilan sosial dan demokrasi’ adalah untuk memberikan tanah hak milik kekal kepada bukan sahaja Kampung Baru, tetapi juga Kampung Tersusun dan peneroka FELDA,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Korban Kelab Sukan dan Kebajikan Media Perak bersama Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) di Asrama Anak Yatim Darussalam, di Kampung Melayu Sungai Rapat, Ipoh pada Khamis. Majlis itu turut dihadiri Menteri Besar, Ahmad Faizal Azumu.

Abdul Aziz berkata apa yang cuba diketengahkan adalah situasi semasa kerajaan negeri di bawah PH yang tidak ada masalah untuk menunaikan manifesto Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14).

“Saya sebagai seorang yang mendalami Perlembagaan menceritakan dari sudut undang-undang bahawa kerajaan negeri tidak ada masalah untuk melaksanakan manifesto Pakatan Harapan di bawah teras ketiga.

“Sebagai makluman, kampung Tersusun dan peneroka FELDA penduduknya adalah majoriti Melayu, jadi tak timbul soal saya membela kaum Cina dalam isu tanah 999 tahun,” katanya.

Abdul Aziz berkata, percanggahan pendapat dengan Menteri Besar, hanyalah dari sudut Perlembagaan.

“Ia bukan soal pemberian hak milik tanah, kerana saya percaya Menteri Besar juga sependapat untuk menunaikan manifesto PH Perak secara keseluruhan.

“Saya hanya menjelaskan perkara yang termaktub di dalam Perlembagaan Persekutuan, Perkara 91 (5) tidak menyebut soal halangan kerajaan negeri memberikan hak milik kekal kepada penduduk Kampung Baru, Kampung Tersusun dan peneroka FELDA,” katanya.

Semalam media melaporkan Ahmad Faizal menegur Abdul Aziz berikutan kenyataannya berhubung status hak milik tanah 999 tahun bagi Kampung Baru yang dilihat bercanggah dengan keputusan kerajaan negeri.

Ahmad Faizal dipetik sebagai berkata, sesiapa sahaja boleh membuat pandangan namun dalam beberapa hal ia hendaklah dilakukan secara tertutup.