Mahkamah Sesyen Tidak Benarkan Dua Penyokong LTTE Diikat Jamin

  • 32
  •  
  •  
Reading Time: 2 minutes

Foto Bernama

KUALA KANGSAR | Mahkamah Sesyen Kuala Kangsar tidak membenarkan sebarang ikat jamin ditawarkan kepada seorang juruteknik kilang dan pemandu teksi atas pertuduhan melibatkan diri dalam kumpulan pengganas Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE), sejak lima tahun lalu.

Juruteknik kilang, S Arivainthan, 27, dan pemandu teksi, V Balamurugan, 37, didakwa dengan pengetahuan telah memberi sokongan kepada kumpulan LTTE dalam satu majlis.

Mereka didakwa melakukan kesalahan itu di Dewan Majlis Perbandaran Kuala Kangsar Cawangan Sungai Siput (U) antara jam 6.30 petang hingga 11.45 malam, 28 Disember 2014. Pertuduhan itu membabitkan kesalahan keselamatan.

Arivainthan dan Balamurugan mengangguk faham pertuduhan yang dibacakan dalam bahasa Melayu di hadapan Hakim Rohaida Ishak. Bagaimanapun tiada pengakuan direkodkan kedua-dua tertuduh.

Bagi pertuduhan ini, kedua-duanya didakwa mengikut Seksyen 130J(1)(a) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sepanjang hayat atau tidak melebihi 30 tahun atau denda dan mana-mana harta yang digunakan atau diniat untuk digunakan melakukan kesalahan ini hendaklah dirampas.

Tertuduh Balamurugan dari Sungai Siput turut didakwa atas tiga lagi pertuduhan memiliki dan mempamer item-item yang berunsur perbuatan keganasan atau berkaitan dengan LTTE.

Dia dituduh memiliki item-item terbabit dalam sebuah telefon bimbit jenama Samsung Galaxy A7 di pekarangan Stesen Teksi Sungai Siput (U) pada jam 9.40 pagi, 10 Oktober lalu.

Tertuduh turut didakwa memiliki dan mempamer item-item yang berunsur perbuatan keganasan atau berkaitan dengan LTTE di sebuah rumah di Taman Bukit Medan Sungai Siput (U) pada jam 9.50 pagi, 10 Oktober lalu.

Bagi ketiga-tiga kesalahan itu, tertuduh didakwa di bawah Seksyen Seksyen 130JB (1)(a) dan 130JB (1)(b) Kanun Keseksaan yang jika sabit kesalahan dihukum penjara tidak melebihi tujuh tahun atau denda dan hendaklah dilucuthakkan mana-mana item tersebut.

Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya Aliff Asraf Anuar Sharuddin.

Tertuduh Arivainthan diwakili Ahli Parlimen Jelutong, RSN Rayer sementara Matthews Jude dan Farhan Fadzil mewakili Balamurugan.

Terdahulu peguam tertuduh merayu agar mahkamah membenarkan permohonan ikat jamin terhadap kedua-dua tertuduh.

Dalam hujahannya, Rayer memberitahu tiada sebarang kenyataan atau izin daripada pihak pendakwa raya yang mewajibkan mahkamah menjalankan prosiding itu di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA) yang tidak membolehkan diikat jamin.

Mahkamah bagaimanapun tidak membenarkan sebarang ikat jamin ditawarkan kepada kedua-dua tertuduh kerana membabitkan kesalahan keselamatan dan menetapkan 28 November depan untuk sebutan semula kes.

Rayer memberitahu media, pihaknya akan mengemukakan rayuan kepada Mahkamah Tinggi Ipoh selewatnya esok bagi membenarkan ikat jamin terhadap tertuduh.

Sebelum ini media melaporkan 12 individu termasuk dua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dari Negeri Sembilan dan Melaka ditahan kerana disyaki terbabit LTTE mengikut SOSMA.