MB Perak Ahmad Faizal Nafi Dakwaan Dr Zambry Masih Tinggal di Kediaman Rasmi

Reading Time: 2 minutes

IPOH: Kerajaan Pakatan Harapan (PH) Perak menunjukkan ketelusan pentadbirannya kepada rakyat apabila menjelaskan Mantan Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir telahpun berpindah keluar sepenuhnya dari Kediaman Rasmi Menteri Besar di Jalan Hilir, Ipoh.

Menteri Besar Perak, Ahmad Faizal Datuk Azumu menyangkal dakwaan seorang pengguna Facebook kononnya mantan Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir masih tinggal tinggal di Kediaman Rasmi Menteri Besar di Jalan Hilir, Ipoh. Beliau turut menjelaskan kediaman rasmi Menteri Besar sedang dalam proses pembaikkan yang melibatkan sistem perpaipan dan ia merupakan salah satu sebab mengapa beliau ( Faizal) masih belum berpindah ke situ.

“Kita tidak mengamalkan sistem demokrasi seperti di negara Barat, sebagaimana disebutkan. Di sini, pentadbiran kita, tidak ada sebarang unsur paksaan keluar dan sebagainya.

“Peralihan kuasa kita berjalan dengan lancar dan saya tidak ada apa-apa masalah.

“Diharap perkara ini jangan dipanjangkan kerana ia tidak sihat untuk pembinaan negara,” kata Ahmad Faizal kepada pemberita di Bangunan Perak Darul Riduzan, Ipoh pada Jumaat.

Dalam perkembangan sama Zambry, menerusi akaun twitternya, turut menafikan dakwaan itu.

“Marilah di bulan penuh dengan barakah dan keampunan ini kita jauhkan kebencian, permusuhan, fitnah.

“Kepada mereka yang sebar fitnah bahawa saya masih duduk di Kediaman Menteri Besar, cukuplah dan usahlah terus mencipta fitnah dan menyebarkan benci. Ramadan Karim,” tulisnya pada awal pagi tadi.

Semalam, seorang pengguna Facebook yang menggunakan nama Mariam Mokhtar Admrl-Gen mempertikaikan tindakan Zambry yang kononnya masih belum mengosongkan kediaman berkenaan selepas tidak lagi bergelar Menteri Besar.

Individu berkenaan juga turut membuat kenyataannya melalui laman YouTube yang berdurasi selama kira-kira tiga minit dan mendakwa, sebagaimana yang diamalkan di negara-negara Barat, tempoh sehari amat memadai untuk Zambry memindahkan semua barangan peribadinya.