Operasi Projek Mini Hidro Kampung Ulu Geruntum Digantung Sementara Waktu

Reading Time: 2 minutes

IPOH: Projek Mini Hidro di Kampung Ulu Geruntum yang menimbulkan kontroversi semasa pemerintahan kerajaan Barisan Nasional (BN) yang didakwa memberi kesan kepada kehidupan orang asli dan eko sistem kawasan hijau akhirnya digantung operasinya buat sementara waktu.

Menurut Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Hal Ehwal Pengguna , Masyarakat Sivil, Integrasi Nasional dan Sumber Manusia YB A. Sivanesan penggantungan itu berkuatkuasa serta-merta bermula hari ini.

Katanya, keputusan penggantungan itu dibuat untuk membolehkan pihak Pejabat Daerah dan Tanah Kampar menjalankan kajian terperinci dan menyiapkan ulasan-ulasan serta dokumentasi sebelum hujung bulan ini. Beliau berkata, keputusan itu diambil dalam satu dialog khas bersama wakil daripada orang asli, Perak Hydro Renewble Energy Corporation, Eco Tourism, Alam Sekitar, Sahabat Alam, Jabatan Kemajuan Orang Asli dan PEKA.

“Saya telah arahkan pihak Pejabat Daerah Kampar dan Alam Sekitar untuk menjalankan satu kajian terperinci dan memaklumkan kepada saya ulasan-ulasan dan dokumentasi mereka sebelum hujung bulan ini.

“Selepas itu satu lagi mesyuarat akan diadakan dan akan dimaklumkan kepada kepada semua wakil yang terlibat,” katanya kepada media selepas mempengerusikan dialog khas di bilik Gerakan, Bangunan Perak Darul Ridzuan, Ipoh pada Khamis.

Menurut Sivanesan, semua wakil yang hadir pada dialog itu berpuas hati kerana mereka diberi peluang meluahkan pendapat dan pandangan berhubung pelaksanaan projek mini hydro itu.

“Semua pihak merasa puas hati kerana mereka diberi peluang meluahkan pandangan, mendengar dan keputusan dibuat tindakan menggantung sementara waktu pelaksanaan projek berharga RM20 juta itu,” katanya.

Faisal Kadir

Ditanya mengenai kemusnahan dan kerosakan tanaman pokok durian, petai sebagainya yang menjadi hasil pengantungan hidup orang asli di kampung berkenaan selain kemusnahan kawasan perkuburan, katanya, kesemua 36 penduduk yang mengalami kerugian itu akan dibayar pampasan oleh pihak pemaju.

Sementara itu Pengurus Nomad Adventure, Faisal Kadir yang hadir pada dialog itu menyambut baik penggantungan sementara waktu operasi projek mini hydro itu bagi mencari jalan penyelesaian terbaik antara penduduk orang asli kampung, eko Tourism dengan pihak pemaju terlibat.

“Saya memang alu-alukan keputusan itu bagi memberi peluang kedua pihak terlibat… penduduk orang asli dan pemaju untuk cari jalan penyelesaian terbaik,” katanya.
Menurut Faizal, sebenarnya Gopeng kalau dibangunkan dengan betul tanpa `usik’ alam semula jadinya mampu menjadi kawasan outdoorterbaik di Malaysia.

“Kita ada sungai yang bagus, Gua Tempurung dan Gua Kandu selain kawasan bukit-bukit yang paling sesuai untuk aktiviti pendakian dan tracking bagi para pengemar aktiviti sukan layak dalam dan luar negeri,” katanya.
Faizal juga menganggap pendekataan kerajaan baharu mengadakan dialog seperti ini sebagai satu pendekatan terbaik dan perlu diteruskan bagi memantapkan lagi kerjasama kerajaan dengan semua sektor yang terbabit dalam isu alam sekitar.