MB Sangkal Dakwaan Penjawat Awam  Masih Kabur Hala Tuju Kerajaan

Reading Time: < 1 minute

IPOH | Menteri Besar Perak, Dato’ Seri Ahmad Faizal Azumu menyangkal dakwaan pembangkang penjawat awam masih kabur dengan hala tuju kerajaan negeri.

Beliau menjelaskan perbincangan dengan pegawai kanan kerajaan sering kali diadakan dan mereka memahami dengan jelas hala tuju kerajaan negeri terutama membabitkan isu tanah, pembangunan dan pelaburan.

“Sesiapa sahaja boleh berhubung secara terus untuk mendapatkan maklumat lanjut dengan pantas dan berkongsi pandangan serta cadangan untuk kebaikan negeri.

“Sekali air bah, sekali pantai berubah. Saya percaya dan yakin, majoriti penjawat awam di Perak setia kepada pentadbiran ini, dengan izin ‘government of the day’.

“Walaupun begitu, saya menyedari ada sebilangan kecil dalam kalangan mereka yang masih setia kepada ‘bos-bos’ lama,” katanya semasa menggulung perbahasan Titah Di-Raja sempena Sidang DUN Perak, di Bangunan Perak Darul Ridzuan, Ipoh pada Selasa.

Beliau yakin mereka akan memahami dan menyambut agenda kerajaan negeri untuk berkhidmat demi rakyat.

Ahmad Faizal penuh yakin penjawat awam di negeri ini akan menjunjung prinsip integriti dalam memelihara rahsia kerajaan negeri terutama maklumat sulit berkaitan Mesyuarat Majlis Kerajaan Negeri.

Dalam penggulungannya beliau juga berkata, pihak Kementerian Pendidikan sudah menyelesaikan pelantikan Pengarah Jabatan Pendidikan Perak dan pengarah baharu akan dilantik dalam masa terdekat.