Kempen Minum Sawit: Rakyat M’sia Dah Minum Bercawan² Sejak Sekian Lama

Reading Time: 2 minutes

Baru² ini heboh tentang kempen minum sesudu minyak kelapa sawit yang disarankan oleh Tun Mahathir lanjutan dari kempen Sayangi Sawitku oleh Kementerian Pelaburan, Perindustrian dan Perdagangan.

“Kita harap semua dari kita akan minum satu sudu kelapa sawit sehari” kata Tun sambil memuji langkah yang diambil oleh kementerian itu.

Tok Mat di dalam kempen di PRK Rantau tidak melepaskan peluang menyindir pemimpin Pakatan Harapan dengan soalan sindiran “dah minum atau belum satu sudu kelapa sawit?”

Menteri Industri Utama, Teresa Kok berkata Perdana Menteri menyeru rakyat menjadi duta produk minyak sawit negara terutama minyak sawit dara (virgin palm oil) yang kaya dengan vitamin E.

Teresa cuba meyakinkan orang ramai bahawa terdapat kajian yang dilakukan oleh pakar nutrisi di China yang mendakwa minyak sawit merah boleh memperbaiki penglihatan.

Malah kajian oleh Harvard juga mendapati minyak sawit adalah lebih baik dari marjerin yang mengandungi lemak trans tinggi dan adalah pilihan lebih baik berbanding mentega.

Di sini, Kulup bukan nak nak turut berkempen mengajak orang ramai minum minyak sawit dara. Kulup cuma nak bagi tahu semua bahawa rakyat Malaysia dah lama minum minyak sawit, mungkin sudah berpuluh tahun sejak merdeka lagi. Cuma mereka tidak sedar atau tidak diberitahu. Minyak sawit yang diminum oleh rakyat Malaysia ini bukan saja minyak sawit dara, malah mungkin minyak tua yang telah melalui pelbagai peringkat penapisan dan pemprosesan.

Masih tak percaya cakap Kulup? Lihat dan bacalah apa yang tertulis pada label senarai ramuan susu pekat manis tempatan yang digunakan untuk membancuh teh tarik.

“Minyak kelapa sawit yang bertapis dan vitamin-vitamin.”

Bukan saja dalam susu pekat manis, malah di dalam serbuk krimer atau dalam bentuk cecair juga menggunakan produk dari minyak sawit.

Jadi, Kulup tidak hairan dan tidak ada apa yang pelik tentang meminum minyak sawit. Hampir semua orang hampir setiap warga Malaysia tidak kira bangsa sudah meminum minyak sawit bersudu-sudu sehari sejak bertahun-tahun lamanya tanpa mereka sedari. Kulup sebenarnya dah lama tak minum teh tarik atau teh ais kerana Kulup tahu susu pekat manis mengandungi kandungan gula dan minyak yang tinggi. Sekali-sekala, sesudu sehari itu mungkin boleh dimaafkan. Tapi tidak secawan sehari.

Mereka yang menggunakan isu ini untuk menyindir kononnya meminum minyak sawit dianggap lucu sebenarnya tidak sedar bahawa mereka sendiri kemungkinan besar sudah minum berliter-liter minyak sawit sejak bertahun-tahun lamanya. Ibarat ayam berkokok berderai-derai, ekor bergelumang dengan tahi.  ~  Kulup Lembang


Tulisan ini hanya pendapat peribadi penulis tidak ada kena mengena dengan pendapat atau pandangan rasmi Independent.