Keluarga Mohd Isa Hidup Dalam Kedaifan Perlu Perhatian Segera

Reading Time: 3 minutes

IPOH | Ibarat jatuh ditimpa tangga, begitulah kedukaan hidup yang terpaksa ditempuhi seorang pesara Telekom, Mohd Isa bin Mohd Salleh, 80, bersama isterinya yang hilang penglihatan dan seorang anak perempuan yang tinggal di sebuah rumah yang amat daif di rumah bernombor Lot 1452, Jalan Merpati, Kampung Dato’ Ahmad Said, Ipoh, ketika ini.

Menurut Mohd Isa, dengan pencen bulanan hanya RM450 yang diterimanya tidak mencukupi untuk menyara kehidupan mereka sekeluarga lebih-lebih lagi menjaga isteri yang dahulunya sihat tapi kini buta dan perlu sentiasa dibantu untuk bergerak akibat diserang strok.

Katanya, isterinya Zaiton Rahiman, 74, kini terpaksa berkerusi roda dan dijaga seorang anak perempuannya yang sudah berusia 56 tahun.

“Dulu saya sihat tapi kini tidak berupaya melakukan kerja berat lagi kerana menanggung kesakitan di sebelah kaki kiri sehingga tidak mampu berdiri lama akibat satu kemalangan jalan raya tidak lama dahulu.

“Memandangkan kos hidup yang semakin meningkat sekarang, anak perempuan saya sekali-sekala terpaksa bekerja mengambil upah di kedai makan dengan bayaran kira-² RM20-30 sehari bagi menampung perbelanjaan seharian kami sekeluarga.” Katanya kepada Independent.my pada Rabu.

Menurut Mohd Isa, beliau pernah mengadu hal keperitan hidupnya kepada pihak Baitul Mal dan Jabatan Kebajikan Masyarakat namun sedihnya tidak menerima apa-apa bantuan sehingga ke hari ini.

“Kalau ada bantuan bulanan dapatlah meringan beban masalah perbelanjaan kami sekeluarga,” katanya dengan nada sedih.

Mohd Isa turut menzahirkan rasa sedih kerana keadaan rumahnya yang amat daif perlukan perhatian segera di mana bumbung rumah mengalami kebocoran akibat ditimpa pokok tidak lama dulu. Ia perlu dibaiki segera tetapi memandangkan pendapatannya tidak mencukupi, beliau terpaksa menerima keadaan itu seadanya dan melupakannya.

“Keadaan ini menyebabkan saya, isteri dan anak terpaksa mengubah katil dan kami tidur di ruang tamu rumah,” ujarnya.

Menurutnya lagi, hanya ruang tamu saja yang boleh diduduki kerana semua biliknya telah bocor, tingkap pecah-pecah dimasuki air apabila hujan. Begitupun, ruang tamunya tidak seperti ruang tamu rumah orang lain, keadaanya terlalu daif, berbau dengan lantai yang lembap seperti tidak diselia atau dibersihkan sejak sekian lama.

Selain itu, katanya, keadaan longkang sekeliling rumahnya sudah tersumbat dan air itu memasuki hingga ke dalam bilik airnya. Tikus pula berkeliaran di dalam rumah berlari-lari di bawah kaki semasa wartawan kami melawat rumahnya.

Tinjauan kami di luar rumah pula amat menyedihkan di mana sampah kotoran dan kain baju yang dibuang dilonggokkan di luar rumah. Sekali lihat seperti tidak percaya keadaan sebegini masih wujud di komuniti yang tinggal di dalam bandar.

Menurut anaknya, Adibah Mohd Isa, sebelum ini ada satu pihak yang datang mendakwa mereka ditugaskan ‘membersihkan’ kawasan rumah mereka luar dan dalam, tetapi mereka membuat kerja seperti melepaskan batuk di tangga kerana hanya mengumpul sampah-sampah dan mencampakkan ke luar rumah, segala barangan yang ada nilai seperti besi-besi buruk mereka ambil pergi. Longkang besar di hadapan rumah juga didapati tersumbat dan air bertakung dibiarkan menyebabkan bau busuk.

“Saya tidak mampu melakukan kerja pembersihan ketika ini kerana sudah uzur,” ujar Isa.

Katanya, beliau amat mengharapkan bantuan daripada mana-mana pihak termasuk Baitul Mal dan JKM bagi membantu meringankan beban masalah dihadapinya, membaiki atap rumah yang bocor, memperelok keadaan rumah dan kawasan sekitar rumahnya yang seperti tongkang pecah.

Tinjauan wartawan Independent mendapati situasi kehidupan keluarga Mohd Isa amat kronik dan keadaan rumahnya memang perlu diberi perhatian segera oleh pihak berwajib.