Laksa Lubuk Kuala Kangsar Gamit Nostalgia Ma’el Laksa

Reading Time: 2 minutes

Bagi penggemar laksa Kuala Kangsar, dan untuk mereka yang merindui keunikan rasa laksa Pak Ma’el atau lebih dikenali sebagai Laksa Ma’el Kuala Kangsar yang popular di sekitar tahun 70-an dan 80-an dahulu, kini anda masih boleh menikmati rasa enak laksa gandum dan keunikan kuah laksa klasik resepi Pak Ma’el itu di sebuah warong dalam kampung berhampiran kampung Lubuk Merbau, Kuala Kangsar.

Arwah Pak Ma’el yang pernah menjual laksa secara ‘mobile di sekitar pekan dan kampung dalam daerah Kuala Kangsar dengan basikal, kemudian menaiktaraf kepada motosikal suatu masa dahulu sudah lama meninggal dunia.

Hari ini penggemar dan peminat laksa Ma’el tidak lagi dikecewakan kerana perniagaan laksanya diteruskan oleh anaknya iaitu Puan Norma bermula tahun 2001 dan mereka menjenamakan perniagaan mereka sebagai Laksa Lubuk, sempena nama kampung tempat warong itu menjalankan perniagaan.

Menurut salah seorang cucunya yang membantu ibunya mengusahakan warong tersebut, warong mereka yang terletak jauh ke dalam kampung itu telah lama wujud sejak arwah meninggal dunia sekitar tahun 90-an. Ia cuma tular sejak akhir-akhir ini selepas pengunjung membuat posting dan berkongsi keunikan rasa Laksa Lubuk di dalam laman sosial.

Dibuka dari jam 10 pagi hingga 7 petang setiap hari (kecuali Selasa), warong Laksa Lubuk tidak putus-putus dikunjungi penggemar laksa dari pelbagai pelusuk daerah terdiri dari pelbagai bangsa termasuk kaum Tionghua.

Secara purata sebanyak 50 kilogram laksa terjual setiap hari yang mana laksanya diproses dan dimasak sendiri menggunakan kawah besar. Kuah laksanya juga dimasak di dalam kawah besar. Keunikan kuahnya ialah kelihatan jernih sahaja (seperti trade mark laksa Ma’el bagi mereka yang tahu) tapi sekali rasa pasti hendak lagi.

Selain di kampung, salah seorang ahli keluarga mereka juga menjual laksa serupa berdekatan dengan stesen minyak BhP Kuala Kangsar. Bagi mereka yang berada di sekitar bandar Kuala Kangsar dan tidak mahu masuk jauh ke dalam kampung, mereka bolehlah menikmati resepi laksa Lubuk di sini.

  • Masakan
  • Servis
  • Harga
  • Lokasi
3.1

Rumusan

Ulasan ini berdasarkan menu laksa sahaja. Masakan sentiasa dihidang panas dan rasa unik laksa Kuala Kangsar masih kekal sejak bertahun-tahun lamanya. Servis tidak begitu memuaskan memandangkan tempat makan di kawasan warong kampung beratap zink tanpa dinding serta meja panjang dari kayu.  Harga begitu berbaloi sekali. Lokasi terletak jauh terpencil di hujung kampung dan agak sukar mengesan melalui aplikasi Waze.