NGO Alam Sekitar dan Komuniti Orang Asli Serah Memo Bantah Projek Ladang Hutan

Reading Time: < 1 minute

IPOH | NGO Sahabat Alam Malaysia (SAM) bersama-sama Persatuan Aktivis Sahabat Alam (KUASA) dan komuniti Orang Asli dari sekitar Simpang Pulai dan Gopeng hari ini tampil di pintu masuk bangunan Pejabat Kerajaan Negeri Perak untuk menyerahkan memorandum bantahan ekoran tindakan kerajaan negeri meluluskan projek ladang hutan di dalam kawasan hutan simpanan kekal.

Menurut wakil Tok Batin Orang Asli Kampung Kerawat, kawasan yang terlibat dalam projek ladang hutan itu adalah merupakan kawasan rayau dan tempat mereka mencari rezeki setiap hari sejak turun temurun.

“Kalau semuanya ditebang, ke mana lagi kami nak pergi?” katanya.

Kerajaan negeri sebelum ini pernah menghentikan pengeluaran lesen pembalakan untuk kelestarian dan memelihara kehijauan alam sekitar.

SAM meminta kerajaan negeri mempertimbangkan semula keputusan memberi laluan untuk projek ladang hutan tersebut kerana ia terletak di dalam kawasan yang diisytihar sebagai Lembah Kinta Geopark.

“Apa guna isytihar Lembah Kinta Geopark dalam amsa yang sama memusnhakan hutan-hutan yang ada,” kata pegawai lapangan SAM, Encik Meor Razak Meor Abdul Rahman.

Beliau berharap kerajaan negeri tidak lagi meluluskan sebarang projek pembangunan di dalam kawasan Hutan Simpanan Kekal.

“Kalau nak buat ladang hutan, pilih kawasan hutan tanah milik kerajaan atau tanah-tanah terbiar, bukan dalam Hutan Simpanan Kekal.

“Hutan tetap hutan, ladang bukan hutan,” katanya.