Projek Ladang Hutan Bukan Dalam Kawasan Hutan Miskin, Terosot – SAM

Reading Time: 3 minutes

IPOH | “Usah jadikan hutan miskin dan terosot sebagai laluan untuk membuka projek ladang hutan di kawasan Hutan Simpan Kekal di negeri Perak’’, kata pegawai lapangan Persatuan Sahabat Alam Malaysia (SAM), Meor Razak Meor Abdul Rahman.

Beliau berkata, hasil tinjauan mendapati kawasan hutan simpan kekal  yang ingin dibangunkan untuk projek ladang hutan bukanlah hutan miskin dan terosot sebagaimana yang didakwa sebelum ini.

Katanya, apa yang mengejutkan daripada pemerhatian SAM mendapati pembukaan projek ladang ladang hutan ini membabitkan kawasan sebegitu luas iaitu kira-kira 400 hektar.

“Berdasarkan pemerhatian dan tinjauan yang kami buat mendapati dirian hutan dan pokoknya masih tebal dan tinggi…Bahkan terdapat beberapa kawasan yang berbukit dan berkecuranan tinggi.’’ katanya kepada pemberita di hadapan pondok pengawal perkarangan Bangunan Perak Darul Ridzuan, Ipoh pada Selasa.

Meor Razak yang mewakili 19 aktivis badan bukan kerajaan (NGO) berkaitan alam sekitar telah menyerahkan dua memorandum bantahan projek ladang hutan di Hutan Simpan Bukit Kinta, Hutan Simpan Kledang Saiong dan pembangunan di Bukit Kledang. Beliau menyerahkan memorandum itu kepada kepada wakil kerajaan negeri, Encik Kamal Ahmad.

Hampir seratus wakil-wakil NGO berkenaan termasuk Jawatankuasa Bertindak Orang Asli Kampung Kerawat, Kampung Pergom, Kampung Juang, Sinju, Ulu Geruntum, Pos Slim, Pos Raya, Kampung Jantong Baru dan Kampung Bawong mengadakan himpunan aman dengan membawa sepanduk bantahan  di hadapan bangunan Wisma DAP sebelum bergerak ke perkarangan bangunan Perak Darul Ridzuan.

Menurut Meor Razak, daripada tinjauan pihaknya mendapati walaupun kawasan terbabit terletak di dalam kawasan Hutan Simpan Bukit Kinta yang diuruskan di bawah Jabatan Perhutanan, namun kawasan berkenaan merupakan kawasan sensitif dan bukan merupakan kawasan hutan miskin dan terosot.

“Ia juga merupakan kawasan yang sangat diperlukan oleh komuniti Orang Asli tempatan mendapatkan bekalan air bersih, tempat mencari tumbuhan, makanan, haiwan buruan, tumbuhan herba, jaminan keselamatan dan pelbagai sumber penting untuk kelangsungan kehidupan komuniti orang asli tempatan,’’ katanya.

Justeru, katanya, pihaknya serta semua NGO terbabit menuntut supaya kerajaan negeri membatalkan projek ini daripada terus dilaksanakan.

“Kami menuntut kerajaan negeri supaya memindahkan projek ini ke kawasan lain yang kurang sensitif seperti kawasan hutan tanah kerajaan yang terbiar.

“Apa-apa pembangunan yang melibatkan hutan simpanan kekal haruslah dibuat berhati-hati dengan membuka ruang demokrasi dan partisipasi untuk penyertaan masyarakat awam bagi mengelak konflik dan sebarang kerugian kepada ekonomi dan  alam sekitar,’’ kata Meor Razak.

Presiden Persatuan Aktivis Sahabat Alam (KUASA), Hafizudin Nasarudin memberitahu bahawa tujuan bantahan diadakan adalah kerana kerajaan negeri telah memilih hutan-hutan simpanan untuk ditebang habis, bukannya secara selektif. Menurutnya, kawasan Hutan Simpan Kledang Saiong yang lokasinya tidak berapa jauh dari bandaraya Ipoh berkeluasan 300 hektar, bersamaan dengan 300 padang bola. 

“Kawasan ini masih lagi hutan kaya, kerajaan negeri mendakwa ini kawasan adalah hutan miskin, hutan sekunder, jika dibalak sampai habis tidak akan beri impak yang besar tapi bila kami melawat kawasan tersebut, kami dapati hutan itu masih tebal, masih kaya,” katanya sambil menunjukkan gambar hutan tersebut di tangannya.   

Sementara itu wakil Pertubuhan Pelindung Khazanah Alam (PEKA) Malaysia, mendakwa perolehan tanah tapak projek ladang hutan berkenaan tidak mematuhi Akta Orang Asli 1954.

Mengikut undang-undang, jika pihak Kerajaan ingin mengambil tanah adat masyarakat warisan nenek moyang mereka secara perolehan tanah, maka prosedur bersangkutan menurut Kanun Tanah Negara perlu diikuti.

“Di sini jelas perolehan sedemikian tidak dibuat dan hasil kegagalan tersebut juga tindakan susulan oleh Pihak Kerajaan Negeri adalah menyalahi peruntukan undang-undang dan ini merupakan satu penindasan kepada masyarakat Orang Asli dan mengenepikan hak-hak asasi Orang Asli mengikut Akta Orang Asli 1954.

“Setiap kali apa sahaja pembangunan atau pembukaan hutan yang melibatkan penempatan Orang Asli, Kerajaan Negeri mesti menjalankan Maklumat Awal Bebas Dan Telus (MABT) dan ini dapat mengelakkan sebarang penindasan atau rundingan sekiranya berlaku bantahan terutama melibatkan kelulusan pembalakan,” katanya kepada media.