IPOH – Speaker Dewan Rakyat, Nga Kor Ming menggesa Yang di-Pertua Dewan Negeri Perak, Datuk Ngeh Koo Ham supaya jangan terlalu berlembut tapi lebih tegas dalam mengendalikan persidangan Dewan Negeri.
Menurut Nga Kor Ming, dalam pemerhatiannya beliau melihat Yang di-Pertua Dewan terlalu bermurah hati dan berlembut sehingga suasana sidang dewan dieksploitasi pihak pembangkang.
Katanya, Koo Ham perlu lebih bertegas dalam mengendalikan persidangan Dewan yang berlangsung selama enam hari dan berakhir Isnin depan.
“Dari pemerhatian dan penelitian saya sejak pukul 10 tadi, saya merasa Tuan Speaker (Yang di-Pertua Dewan Negeri ) yang baru, Yang Berhormat Datuk Ngeh Koo Ham terlalu bermurah hati sehingga sikap murah hati beliau telah pun disalah guna atau dieksploitasi oleh pembangkang.
“Beliau cuba untuk memuaskan hati semua pihak… jadi saya cadangkan agar keadaan ini diubah dan Speaker mulai esok perlu bersikap lebih tegas,” katanya kepada pemberita di bilik media, Bangunan Perak Darul Ridzuan, Ipoh pada Selasa.
Nga juga menyifatkan, barisan pembangkang tidak berperanan sebagai pembangkang yang konstruktif. Katanya, pembangkang bukan sahaja sengaja mengganggu sesi soalan lisan berlangsung, malah bersikap tidak senonoh dengan menengking dan menuding jari ke arah Speaker.
“Adalah jelas sekali niat mereka bukan untuk bertanya soalan, tapi nak mengacau sahaja, kerana saya perhatikan 40 minit sesi soal jawab, hanya jawab satu soalan sahaja.
“Ini menunjukkan pembangkang tidak menepati janji mereka untuk menjadi pembangkang yang konstruktif.
Menurut Nga, untuk menjadi pembangkang yang konstruktif, mereka harus mengajukan soalan secara tepat, padat dan ringkas.
“Saya perhatikan Yang Berhormat Pangkor (Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir) ada menuding jari dan berteriak ke arah Speaker, ini sikap yang perlu dielakkan.
“Bertikam lidah itu biasa kerana ia sebahagian asam garam dalam Persidangan Dewan Negeri, tetapi bukan berperangai buruk, saya harap keadaan sedemikian boleh diperbaiki,” katanya.