Projek Marina: Dr Zambry Alu-alukan Laporan Ketua Audit Negara

Reading Time: < 1 minute

IPOH: Bekas Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir menjelaskan beliau mengalu-alukan laporan Ketua Audit Negara berhubung kegagalan projek marina di Pulau Mentagor, Lumut.

Menurut beliau, kerajaan negeri terdahulu telahpun berkali-kali membangkitkan masalah itu namun langsung tidak mendapat layanan di peringkat Pusat. Dr Zambry berkata, sebelum ini pelbagai cadangan dikemukakan kepada pihak kementerian ketika itu bagi menyelesaikan masalah marina tersebut.

“Kita cadangkan supaya projek ini kalau tak boleh diselesaikan di peringkat Pusat untuk dikendalikan, serahkan kepada kerajaan negeri, tetapi rayuan dan permohonan kerajaan negeri terdahulu langsung tidak dilayan.

“Apabila laporan audit keluar menarik juga kita lihat projek ini daripada siapa pada waktu itu,” katanya kepada pemberita di bilik media sempena Sidang DUN Perak di Ipoh pada Selasa.

Beliau diminta mengulas mengenai laporan audit berhubung pembaziran dana awam bagi pembinaan marina tersebut. Dalam laporan Ketua Audit Negara, mendedahkan berlaku pembaziran wang awam berjumlah RM61.55 juta apabila dua marina yang dibina kerajaan sebelum ini tidak beroperasi setelah siap dibina dan tidak pernah dikunjungi pelayar.
Menurut laporan itu, marina Kuala Kedah tidak pernah beroperasi sejak siap dibina pada 2003 manakala marina Pulau Mentagor di Perak tidak mencatatkan sebarang kemasukan kapal layar sejak mula beroperasi pada 2010.