Saarani Dedah Kerajaan PH Perak Arah Pejabat Daerah ‘Rampas’ Kunci Dewan Orang Ramai

Reading Time: 2 minutes

IPOH: Ketua Pembangkang, Datuk Saarani Mohamad mendedahkan kerajaan Pakatan Harapan Perak mengarahkan pejabat-pejabat daerah supaya merampas kunci dewan orang ramai menyebabkan dewan berkenaan tidak lagi digunakan oleh penduduk dan berkeadaan terbiar sehingga ke hari ini.

Menurut beliau, arahan itu dikeluarkan pada minggu pertama selepas Pakatan Harapan Perak membentuk kerajaan.

“Akibat daripada surat itu, kalau kita tengok dewan ini semak samun tak ada orang beri perhatian sebab masa kerajaan BN dahulu sekurang-kurangnya sekali diadakan mesyuarat JKKK atau program-program dibuat oleh Amanah Ikhtiar, program belia, khairat kematian di kampung.

“Bila dirampas kunci itu, siapa nak peduli dan paling dahsyat sekali ada dewan yang dipotong bekalan elektrik.

“Tindakan itu juga akan merosakkan kemeriahan orang kampung untuk buat aktiviti,” katanya kepada pemberita di bilik media sempena Sidang DUN di Ipoh pada Selasa.

Hadir sama Adun Pangkor yang juga bekas Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir, Adun Pengkalan Baharu, Datuk Abd Manaf Hashim dan Adun Pengkalan Hulu, Datuk Aznel Ibrahim.

Saarani juga mempertikai tindakan kerajaan negeri mengeluarkan pekeliling kepada pihak berkuasa tempatan (PBT) supaya menolak semua permohonan yang dibuat UMNO untuk menggunakan premis mereka.

Beliau menyifatkan tindakan itu sebagai menghalang PBT memperoleh pendapatan kerana penggunaan premis seperti dewan serbaguna dan sebagainya dibayar.

“Sewaan kemudahan PBT itu sebahagian punca pendapatan yang selama ini dibayar UMNO dan jika PBT hilang punca pendapatan mereka terpaksa memohon tambahan peruntukan kerajaan negeri.

“Saya nak sebutkan kepada anggota kerajaan Pakatan Harapan tidak boleh mendabik dada kerana tak ditubuhkan berasaskan kemenangan mutlak sebagai kerajaan. Sebab itu kita nak ingatkan bahawa mereka bukan kerajaan pilihan rakyat.

“Kita ingatkan ini sebab kita nak bagi tahu kepada dia apabila nak buat polisi tak boleh buat polisi berasaskan seolah-olah dia hanya boleh beri kepada penyokongnya sahaja,” katanya.

Saarani yang juga Adun Kota Tampan turut menjelaskan pihaknya menerima pengiktirafan terhadap institusi ketua pembangkang dengan memberikan pelbagai kemudahan.

“Bagaimanapun ia bukan halangan untuk blok pembangkang mengkritik dan menegur kerajaan,’’ tegasnya.

.