Kediaman Rasmi Menteri Besar Perak Dibangunkan Di Bandar Meru Raya

Reading Time: < 1 minute

IPOH: Menteri Besar, YAB Ahmad Faizal Azumu menjelaskan Kediaman Rasmi Menteri Besar Perak yang baharu akan dibangunkan di Bandar Meru Raya, Ipoh.

Menurut beliau, turut dibangunkan di kawasan itu, Kediaman Rasmi Exco Kerajaan Negeri, Setiausaha Kerajaan Negeri, Pegawai Kewangan Negeri dan Pegawai Undang-Undang Negeri serta Dewan Gunasama.

Kerajaan negeri, katanya, sememangnya mempunyai cadangan untuk memindahkan pusat pentadbiran ke Bandar Meru Raya kerana terdapat banyak pejabat agensi kerajaan Persekutuan di kawasan berkenaan.

“Ini akan memudahkan orang ramai untuk berurusan sama ada dengan agensi kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri berhampiran.

“Namun, cadangan ini perlulah diperhalusi dan kajian pembangunan secara holistik perlu dilaksanakan,” kata Ahmad Faizal pada Sidang Dewan Undangan Negeri Perak di Ipoh pada Selasa.

Beliau menjawab soalan tambahan Dr Muhd Fadhil Nuruddin (Amanah-Kamunting). Menurut beliau, perkara-perkara seperti konsep cadangan pembangunan, keperluan sosial dan ekonomi serta jaringan pengangkutan awam akan diambilkira seperti yang dilakukan oleh Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad ketika membangunkan pusat pentadbiran Persekutuan di Putrajaya.

Baru-baru ini Ahmad Faizal menjelaskan Kediaman Rasmi Menteri Besar Perak di Jalan Raja Dihilir bakal dibangunkan memandangkan ia tidak lagi sesuai untuk didiami. Beliau berkata, keputusan itu dibuat atas faktor keselamatan memandangkan kawasan sekitarnya sudah dimajukan dengan pembinaan bangunan komersial selain keadaan bangunan kediaman itu yang memerlukan kos untuk dibaik pulih.

Katanya, perkara itu sudahpun disembah maklum kepada Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah dan kerajaan kini sedang mencari jalan untuk membangunkan melalui kerjasama pihak pemaju yang berminat.