OPINION: Henti Edar Surat Dan Kenyataan Rasmi Dalam Tiga Bahasa

Reading Time: 2 minutes

Kerajaan Pakatan Harapan nampaknya bertindak mengundur ke belakang dengan masih mengeluarkan dokumen bercetak kenyataan-² rasmi dalam 3 bahasa iaitu bahasa Melayu, Inggeris dan Cina.

Tindakan ini dilihat makin menyusahkan dan boleh menimbulkan kekeliruan sama ada negara ini mengamalkan 3 bahasa rasmi.

Sebagai rakyat Malaysia sudah semestinya semua orang mengerti dan faham bahasa kebangsaan. Tidak ada keperluan untuk mengeluarkan kenyataan dalam 3 bahasa sekaligus. Lebih² lagi dalam isu terbaru yang menimbulkan kemurkaan Sultan Johor, ahli PBT di negeri Johor mengeluarkan satu surat rasmi dalam 2 bahasa iaitu bahasa Inggeris dan Cina. Bagaimanapun, tidak dapat dipastikan adakah terdapat surat utama dalam bahasa Melayu seperti yang didakwa.

Tidak lama dahulu, Menteri Kewangan dikecam kerana turut mengeluarkan kenyataan rasmi dalam 3 bahasa termasuk bahasa Cina. Di Perak juga tidak kurangnya. Ahli Mesyuarat Jawatankuasa Sukan dan Pembangunan Modal Insan, YB Howard Lee juga sering mengeluarkan kenyataan rasmi dalam 3 bahasa, iaitu Melayu, Inggeris dan Cina dengan menggunakan kepala surat rasmi kerajaan negeri.

Alasan yang diberikan menggunakan pelbagai bahasa adalah tidak masuk akal. Menurut salah satu alasan yang diberi, ia bertujuan untuk memaklumkan kepada mereka yang ‘tidak fasih’ bahasa Melayu sedangkan negara sudah merdeka lebih 60 tahun.

Jika alasan sedemikian boleh dierima pakai, mereka sepatutnya mencetak dalam banyak bahasa lain di negara ini termasuk Tamil, Jawi, Portugis dan Bajau. 

Perkara ini tidak pernah berlaku semasa era Barisan Nasional dahulu. Seharusnya kerajaan Pakatan Harapan menjadi lebih baik dari kerajaan terdahulu dengan menunjukkan semangat patriotisme yang tinggi menggunakan bahasa kebangsaan dalam urusan rasmi.

Ini merupakan sesuatu yang baru dimana sumber rasmi dari pihak kerajaan dikeluarkan dalam bahasa Cina. Bahasa Cina tidak pernah diiktiraf sebagai bahasa rasmi di dalam negara ini. Ia hanya diiktiraf sebagai bahasa untuk pertuturan kaum tertentu.

Artikel 152 Perlembagaan Malaysia jelas menyatakan bahasa Melayu adalah bahasa rasmi negara. Sejak merdeka bahasa Melayu telah digunakan dalam sistem pendidikan, urusan rasmi agar generasi baharu mahir berbahasa Melayu.

Adalah pelik selepas lebih 60 tahun merdeka, jika masih ada ahli Dewan Negeri atau Parlimen bukan Melayu yang lahir selepas merdeka masih belum mampu memahami bahasa Melayu.