Perak Bakal Dapat Peningkatan Pelaburan Dari Kanada

Reading Time: < 1 minute

IPOH – Pesuruhjaya Tinggi Kanada ke Malaysia, Julia G. Bentley mengadakan kunjungan hormat ke Pejabat Menteri Besar Perak hari ini.

Ini merupakan lawatan beliau buat kali ketiga ke negeri Perak. Beliau diiringi oleh Kaunselor Komersial dan Pesuruhjaya Kanan Perdagangan, Darcee Munroe.

Menteri Besar Perak, Ahmad Faizal menyatakan dalam pertemuan itu, beliau telah mengadakan perbincangan yang panjang menyentuh banyak perkara termasuk tentang hubungan dua hala antara negeri Perak dan Kanada.

Ahmad Faizal menyatakan bahawa setakat ini Perak telah berjaya menarik beberapa pelabur dari Kanada untuk datang melabur di negeri ini. Namun beliau berharap, Kanada dapat mempertingkatkan lagi jumlah pelaburan di Perak.

“Saya mohon dalam perjumpaan ini, agar pelaburan dapat dipertingkatkan lagi.

“Kita dapati banyak syarikat² dari Kanada melabur di Malaysia tapi bukannya di Perak,” kata Ahmad Faizal.

“Saya telah berbincang tentang beberapa projek² yang besar yang boleh difikirkan bersama supaya dapat bangunkan,” menurutnya lagi.

Beliau juga menyatakan bahawa Exco Industri, Pelaburan dan Pembangunan Koridor, Dato’ Seri Nizar Jamaluddin juga telah didatangi oleh sebuah syarikat dari Kanada yang mahu membangunkan teknologi MRO. Bagaimanapun, ia masih dalam peringkat perbincangan dan Ahamd Faizal berharap ia akan menjadi kenyataan.

Mengulas perjumpaan dengan wakil Kanada hari ini, Ahmad Faizal meluahkan harapan apa yang telah diperbincangkan hari ini akan membuahkan hasil.

Bagi Julia, ini adalah lawatan buat kali ketiga beliau ke negeri Perak.

Beliau melihat adalah satu idea yang baik dalam usaha kerajaan negeri memelihara dan melindungi hutan dimana terdapat banyak syarikat dari Kanada yang berminat untuk melabur dalam industri pelancongan dan teknologi hijau.

“Industri pelancongan memiliki potensi yang besar di negeri Perak ini,” menurut Julia.