MB Perak Umum Berita Gembira Buat 3,000 Pemilik Lesen Pendudukan Sementara

Reading Time: 2 minutes

IPOH: Berita gembira buat 3,000 pemilik Lesen Pendudukan Sementara (TOL) di seluruh negeri Perak apabila kerajaan negeri akan memberikan hak milik 99 tahun kepada mereka dalam masa terdekat ini.

Menurut Menteri Besar Perak, Ahmad Faizal Azumu, mereka yang terbabit menetap di kawasan pesisir pantai dan kampung baru seperti di Kerian, Larut Matang, Manjung, Teluk Intan, Hilir Perak dan Bagan Datuk.

“Saya sudah mengadakan perbincangan dengan Pengarah Pejabat Tanah dan Galian (PTG) Perak yang telah membantu mengenalpasti 3,000 kelulusan tanah TOL untuk kita berikan hak milik serta-merta tidak mengira keputusan daripada pucuk pimpinan kerajaan persekutuan atau Majlis Tanah Negara.

“Kita akan segerakan pemberian hadiah ini kepada rakyat dan penerimanya telah dikenalpasti layak serta telah menduduki tanah tersebut hampir 50 tahun,” katanya.

Ahmad Faizal berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri program Bicara Harapan Rakyat Siri 1:Hala Tuju dan Masa Depan Negeri Perak, Keadilan dan Demokrasi anjuran PTG Perak di Hotel Casuarina@Meru, Ipoh pada Selasa.

Bagaimanapun beliau menjelaskan, hak milik tanah tidak boleh diberikan kepada kawasan yang melingkungi dalam rizab sungai, jalan dan sebagainya.

“Sebagai kerajaan yang bertanggungjawab dalam pembangunan negeri kita perlu memikirkan masa hadapan bagi pembinaan jalan jadi rizab sungai dan jalan raya tidak boleh diberi pemilikan tetap,” katanya.

Ahmad Faizal mengakui sebarang keputusan berkaitan status pemilikan tanah akan mengambil masa yang panjang namun Kerajaan Negeri berpendirian keputusan akan diambil berdasarkan lunas undang-undang dan perlembagaan.

“Kerajaan negeri akan menerima semua pandangan daripada semua pihak untuk dibawa kepada Majlis Pakatan Harapan Negeri seterusnya ke pusat dan saya akan akur dengan sebarang keputusan yang tidak lari dari keputusan Majlis Presiden Pakatan Harapan serta Majlis Tanah Negara.

“Satu sesi perbincangan telah selesai hari ini dan kerajaan negeri telah mendapat banyak input daripada orang ramai terutama sekali termasuk para ahli panel yang pakar dalam bidang masing-masing dalam memperkatakan tentang keadaan sosial dan demokrasi yang termaktub dalam manifesto Pakatan Harapan.

“Kita akan mengambil kira semua pandangan untuk diperhalusi pimpinan yang tertinggi sebelum kerajaan negeri membuat satu keputusan bagi memenuhi harapan manifesto Pakatan Harapan Negeri Perak,” katanya.

Forum tersebut disertai empat orang panel iaitu Profesor Datuk Dr Hassan Basri Awang Mat Dahan, Datuk Abdu Zar Omar, Mohd Zainuddin Mohd Yusof, Wan Koon Seng dan dipengerusikan oleh moderator Prof Madya Dr.Fakhruldin Mohd Hashim.