Perak Galak Belia Sertai Latihan Amali Penuhi Pasaran Kerja

Reading Time: < 1 minute

IPOH: Perak menjadi negeri contoh pertama memulakan program pendidikan teknikal dan latihan vokasional (TVET) dengan menggalakkan golongan belia mengikuti latihan amali bagi memenuhi pasaran kerja.

Menurut Menteri Besar Perak, YAB Ahmad Faizal Azumu, program ini juga membantu kerajaan mengatasi masalah pengangguran dan mengurangkan kebergantungan kepada tenaga kerja asing.

Katanya, sebagai permulaan, seramai 100 anak muda termasuk 25 daripada masyarakat Orang Asli di Perak terpilih bagi menyertai program itu yang membabitkan kerjasama antara KLI Training Centre Sdn Bhd dengan Kopitiam Asia Pacific Sdn Bhd.

Beliau berkata, semua pelatih akan ditempatkan di cawangan-cawangan restoran Old Town dan diberi latihan sepenuhnya, sebelum mereka diserap masuk sebagai pekerja sepenuh masa.

Ahmad Faizal berkata, program ini adalah perintis kepada banyak lagi latihan TVET untuk generasi belia di Perak.

“Ini bertepatan dengan misi kerajaan negeri untuk menjadi penggerak utama kepada agenda meningkatkan kualiti pendidikan dan latihan generasi muda,” katanya. Teks ucapan beliau dibacakan Setiausaha Politiknya, Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid .

Iskandar telah menyaksikan majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) kerjasama itu yang ditandatangani Ketua Pegawai Eksekutif KLI Training Centre Sdn Bhd, Azizul Mohd Othman dan Ketua Pegawai Operasi Kopitiam Asia Pacific Sdn Bhd, Felix D Michael, di bilik gerakan Bangunan Perak Darul Ridzuan, Ipoh pada Isnin.

Pada majlis itu, Pengasas Marina Island Pangkor, Datuk Ding Poi Chung turut menyumbangkan dana sebanyak RM120,000 bagi tajaan kepada para pelatih.

Menurut Ahmad Faizal, Datuk Ding sendiri adalah salah seorang produk dari program latihan kemahiran yang sangat berjaya.

“Dengan kemahiran beliau miliki, bekerja kuat sehingga berjaya menzahirkan sebuah pulau buatan yang mampu menjadi destinasi pelancongan terkenal di Perak, saya yakin program latihan ini dapat melahirkan lebih ramai usahawan hebat,” katanya.