Orang Asli Pos Piah Ragui Pemberian Wang Oleh Syarikat Balak 

Reading Time: 2 minutes

IPOH | Kira-kira 100 penduduk masyarakat Orang Asli Kampung Pos Piah Sungai Siput menzahirkan rasa amat terkejut apabila mereka ditawarkan wang berjumlah RM1,150 daripada sebuah syarikat pembalakan.

Menurut Pengerusi Jaringan Orang Asli Kampung Pos Piah, Najib Alang,  wang sejumlah itu yang diberikan kepada beliau buat perbelanjaan penduduk kampung bagaimanapun ditolak kerana meragui niat pihak syarikat yang menjalankan kegiatan pembalakan di kampung mereka.

“Kami penduduk kampung menolak pemberian wang daripada syarikat itu kerana ia amat meragukan,’’ katanya kepada pemberita selepas membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Ipoh pada Selasa.

Najib seterusnya mendakwa wang tersebut diberikan oleh seorang penyelia syarikat tersebut yang dikatakan bernama ‘Afiq’ bersama-sama seorang lagi ‘tauke’ pada 4 Ogos lalu di kampungnya.

Pemberian itu dikatakan dilakukan selepas pihak syarikat pembalak tersebut selesai membawa mereka ke Pahang bagi melihat projek perladangan durian Musang King, pada tarikh yang sama.

Menurut Najib, Afiq berkata bahawa duit tersebut adalah sebagai wang perbelanjaan kepada penduduk kampungnya yang terdiri daripada kira-kira 100 orang.

“Saya bersama penduduk yang lain meragui niat sebenar pihak syarikat pembalak atas pemberian wang tersebut.

“Semasa dia beri duit itu, saya menolak. Tetapi kemudian dia memberikan kepada saya secara paksa.

“Kami hairan kerana sebelum ini, tidak ada pun sebarang hadiah berbentuk wang seperti ini,” kata Najib.

Susulan itu Najib bersama sekumpulan komuniti Orang Asli Pos Piah tampil membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh pagi tadi.

Menurut beliau, laporan polis kedua itu dibuat bertujuan meminta bantuan polis untuk menyerahkan semula wang yang mereka terima itu kepada pihak syarikat pembalak terbabit.

Najib menambah, laporan polis pertama telah dibuat pada 5 Ogos lalu di IPD Sungai Siput.

Shazni Bhai

Sementara itu menurut Pegawai Lapangan Persatuan Aktivis Sahabat Alam Malaysia  (KUASA) Shazni Bhai yang turut hadir pada sidang media itu berkata sekiranya pihak polis tidak dapat membantu mereka, Komuniti Orang Asli Pos Piah meminta pihaknya untuk membantu dalam menyerahkan semula wang tersebut.

“Kami harap dengan laporan polis ini pihak polis dapat membantu dari segi memudahkan proses pemulangan semula wang tersebut.

“Sekiranya tidak, Najib telah meminta kami, pihak KUASA dapat membantu, menjadi orang tengah untuk selesaikan perkara ini. Duit itu memang mereka tidak mahu terima,’’ katanya.