PAC Gesa Tangguh Kebenaran Rancangan Pembangunan Di Tanah Lapangan Terbang

Reading Time: 2 minutes

IPOH – Menteri Besar, Datuk Saarani Mohamad digesa menangguhkan kebenaran perancangan pembangunan yang melibatkan tapak tanah cadangan pembinaan lapangan terbang amtara bangsa di Seri Iskiandar seluas 188.13 hektar sementara menunggu siasatan Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negeri Perak (PAC) selesai.

Timbalan Yang Dipertua PAC, Chong Zhemin yang membuat gesaan itu berkata, ini penting bagi membolehkan siasatan segera dibuat oleh PAC berhubung isu tanah berkenaan demi kepentingan rakyat Perak.

“Saya menggesa Datuk Saarani segera menangguhkan kebenaran perancangan pembangunan di tanah terbabit sehingga siasatan PAC selesai dijalankan,” katanya kepada pemberita di Bangunan Perak Darul Ridzuan pada Rabu. Hadir sama anggota PAC, Tan Kar Hing yang juga ADUN Simpang Pulai.

Sehubungan itu, katanya, satu surat permohonan rasmi telah dihantar kepada Pengerusi PAC, Datuk Mohd Tarmizi Idris untuk memanggil mesyuarat PAC bagi memeriksa isu-isu berbangkit berkaitan penjualan tanah terbabit kepada pihak ketiga.

Menurut beliau, mantan Menteri Besar Perak, Dato’ Seri Nizar Jamaludin, Dato’ Seri Dr Zambry Abd Kadir dan Dato’ Seri Ahmad Faizal Azumu dan Menteri Besar Datuk Saarani Mohamed akan dipanggil untuk membantu dalam mesyuarat yang akan dijalankan.

“Kami jelaskan di sini bahawa ahli PAC akan bertindak secara profesional dan bipartisan… menyiasat kesemua tuduhan penjualan tanah lapangan terbang Seri Iskandar.

“Saya akan cadangkan dalam mesyuarat PAC untuk menyiasat skandal atau kes ini dari tiga sudut… sudut pertama sama ada penualan tanah ini mendapat kelulusan yang diperlukan, sama ada penjualan ini sah di sisi undang-undang kerana ada pihak yang mendakwa bahawa tak ada kelulusan lembaga pengarah atau kelulusan exco.

“Kalau penjualan ini tidak mendapat kelulusan yang diperlukan dari sisi undang-undang, maka kita akan mendengar nasihat daripada Penasihat Undang-Undang… bukan sahaja dalam ex officio dalam PAC, malah juga dalam PKNP. Kita akan mendapat nasihat sama ada kita boleh batalkan penjualan tanah lapangan terbang ini

“Kedua, sama ada penjualan tanah ini dijual dengan harga yang berpatutan mengikut nilai pasaran… kita akan siasat kerana ada dakwaan tanah ini dijual dengan harga yang rendah.

“Ketiga, PAC juga kena siasat… kalau tanah itu telah digazetkan sebagai tanah lapangan terbang.. bagaimana tanah ini boleh dijual… dipindah milik dan sekarang terdapat kebenaran merancang untuk membuat pembinaan… jadi ini satu perkara yang saya rasa amat menghairankan.

“Kerana kebiasaannya kalau tanah telahpun digazet, sepatutnya tidak berlaku apa-apa pindah milik ke atas tanah… jangan cakap nak jual tanah, pindah milikpun tidak boleh… kita kena ada check and balance ataupun mekanisma kawalan dalam kerajaan. Ini satu perkara yang amat serius kerana kalau tanah yang telah digezet boleh dijual, apa yang akan terjadi pada tanah-tanah yang lain,” tegas Chong Zhemin.