Melancong Tanpa Vaksin di 2022: Bolehkah Anda Melancong Tanpa Vaksinasi

Reading Time: 4 minutes

Sejak pandemik Covid-19 bermula di negara ini pada Mac 2020, negara telah menutup pintu antarabangsa tidak membenarkan rakyat ke luar negara tanpa alasan yang dibenarkan.

Dengan negara bakal memasuki era endemik pada 1 April 2022, mungkin ramai yang mula bercadang atau telah merancang sejak sekian lama untuk melancong atau mengembara ke luar negara sebaik pandemik berakhir atau dunia kembali kepada keadaan ‘normal’ seperti sebelum pandemik.

Oleh kerana banyak negara atau destinasi yang memerlukan pengembara telah lengkap vaksinasi, suka atau tidak vaksin Covid-19 adalah sebahagian dari keperluan untuk mengembara ke negara asing.

Namun, jika anda masih belum menerima vaksin tapi berniat untuk melancong ke negara asing, masih terdapat banyak negara yang tidak memerlukan anda menerima vaksin lengkap ketika tiba di negara berkenaan.

Berikut, kami cuba melihat negara-negara yang tidak mengenakan syarat pengembara menerima vaksin membenarkan ketibaan antarabangsa memasuki sempadan mereka.

Negara yang disenaraikan di sini membenarkan pengembara yang tidak divaksin masuk dengan syarat anda boleh memberikan keputusan ujian PCR negatif dalam tempoh 48 hingga 72 jam sebelum ketibaan atau anda bersedia menjalani kuarantin jika diuji positif. Sila ambil perhatian bahawa senarai itu tertakluk kepada perubahan.

Eropah: Austria, Belarus, Belanda, Belgium, Bosnia Herzegovina, Bulgaria, Croatia, Cyprus, Czech, Denmark, Finland, Jerman, Greece, Iceland, Ireland, Lithuania, Madeira, Moldova, Macedonia Utara, Montenegro, *Norway, Perancis, Portugal, Serbia, Slovenia, Sepanyol, UK, Turki.

Kebanyakan negara Eropah di atas memerlukan anda membuktikan keputusan ujian RTK dalam masa 48 jam atau PCR dalam tempoh 72 jam.

Bagi Norway, negara ini tidak lagi memerlukan sebarang bukti vaksinasi atau sebarang keputusan ujian Covid-19.

Bagi Turki, anda mesti melengkapkan borang dalam talian (Borang Kemasukan ke Turki) maksimum 72 jam sebelum perjalanan. Pengembara yang tidak divaksin boleh masuk ke Turki jika mereka boleh mengemukakan sama ada dokumen terkini sembuh daripada Covid-19 atau ujian PCR negatif (kurang daripada 72 jam ketibaan). Anda juga boleh melakukan ujian RTK yang diambil tidak lebih daripada 48 jam sebelum berlepas, atau memberikan bukti pulih dari Covid-19 dalam tempoh 6 bulan.

Asia & Afrika: Afghanistan, Afrika Selatan, Algeria, Angola, Arab Saudi, Bangladesh, Bahrain, Botswana, Burkina Faso, Congo, Ethiopia, Gabon, Gambia, India, Iran, Kyrgystan, Maldives, Mali, Mauritania, Mesir, Mozambique, Namibia, Nigeria, Senegal, Sierra Leone, Sri Lanka, Sudan, Tajikistan, Tanzania, Thailand, Togo, Tunisia, **UAE, Uganda, Uzbekistan, Zambia, Zimbabwe.

Bagi UAE, pengembara tanpa vaksin dibenarkan memasuki negara itu melalui Abu Dhabi tanpa kuarantin dengan syarat anda datang dari ‘senarai negara hijau’. Malaysia termasuk dalam senarai ini. Anda perlu mendaftar melalui aplikasi Alhosn. Bagi yang memasuki Dubai, anda perlu menunjukkan bukti ujian negatif PCR dalam masa 48 jam. Mesir memerlukan anda menunjukkan keputusan ujian PCR negatif dalam tempoh 72 jam.

Menurut satu kenyataan oleh wakil Maldives Marketing & PR Corp, pengembara tidak perlu menunjukkan bukti vaksinasi atau keputusan ujian namun mereka yang mempunyai simptom Covid-19 tidak digalakkan memasuki negara itu dan kos sebarang ujian perlu ditanggung oleh pengembara.

Amerika Utara & Selatan: Bahamas, Belize, Brazil, Cuba, Costa Rica, El Salvador, Jamaica, Mexico, Haiti, Honduras, Panama, Paraguay, Venezuela. Semua negara ini memerlukan anda membuktikan keputusan ujian PCR atau RTK negatif dalam tempoh 48 atau 72 jam mengikut negara sebelum ketibaan.

Maka, adakah saya masih boleh mengembara jika tidak menerima vaksin?
Jawapan pantas ialah boleh. Bagaimanapun, ia bergantung kepada negara mana yang anda ingin tuju.

Seperti yang dinyatakan, terdapat beberapa negara membenarkan pelancong yang tidak divaksinasi memasuki sempadan mereka. Tetapi mendapat kebenaran memasuki negara itu tanpa divaksin tidak bermakna anda boleh bergerak dengan bebas di destinasi anda.

Ia bergantung kepada jenis pengembara, anda mungkin dinafikan akses ke restoran, pusat beli-belah, lokasi konsert, taman tema dan tarikan lain. Mereka yang tidak boleh mengambil vaksin atas alasan perubatan mungkin boleh dibenarkan masuk.

Selain itu, terdapat juga negara yang melarang warganegara mereka yang tidak divaksinasi daripada pergi ke beberapa tempat. Arab Saudi dan Pakistan misalnya, mengehadkan akses kepada perjalanan udara hanya kepada warganegara yang telah divaksin sepenuhnya.

Risiko dan keburukan bagi pengembara yang tidak divaksin

Pada asasnya, perjalanan tanpa vaksin memerlukan pengembara untuk memutuskan sama ada mereka bersedia atau tidak untuk menghadapi risiko jangkitan semasa perjalanan mereka serta tertakluk kepada syarat yang lebih ketat seperti ujian tambahan dan kuarantin.

Sebagai contoh, pengembara yang tidak divaksinasi boleh memasuki Perancis dengan syarat mereka tidak berlepas dari negara yang dikategorikan dalam senarai merah serta kategori ‘scarlet’ yang baru diperkenalkan berhubung dengan varian Omicron. Mereka yang telah diberi vaksin sepenuhnya tidak perlu menjalani langkah-langkah yang dipertingkatkan seperti ujian PCR dan tempoh kuarantin tujuh hari. Pengembara yang tidak divaksin daripada senarai jingga hanya boleh dibenarkan melawat Perancis hanya jika mereka mempunyai alasan yang kukuh untuk berbuat demikian.

Sememangnya, pengembara mesti memutuskan sendiri sama ada peningkatan risiko jangkitan bersama-sama dengan kesulitan tambahan akhirnya berbaloi dengan objektif anda untuk mengembara.

Semakin banyak negara memerlukan ketibaan antarabangsa untuk divaksin sepenuhnya sebelum dibenarkan masuk ke sempadan mereka dengan Amerika Syarikat sebagai contoh terbaharu. AS telah menarik balik larangan kemasukannya dari kebanyakan dunia tetapi hanya pengembara yang diberi vaksin sepenuhnya secara amnya akan dibenarkan masuk tanpa ujian tambahan dan keperluan kuarantin. Memandangkan kemunculan varian omicron, perjalanan ke AS untuk pengembara asing yang tidak divaksin tidak boleh dilakukan dengan pengecualian yang sangat terhad.

Walaupun kebanyakan pengembara mempunyai pilihan untuk tidak menerima suntikan vaksin Covid-19, hakikatnya ialah tidak diberi vaksin akan semakin menafikan keistimewaan dan pilihan pengembara yang dikaitkan dengan status vaksinasi sepenuhnya.