Pembangkang Seperti Ayam, Kokok Berderai-derai, Ekor Bergelumang Tahi

Reading Time: 3 minutes

ULASAN | Tindakan Ahli EXCO kerajaan negeri Perak YB Paul Yong Choo Kiong menerima nasihat Menteri Besar Dato’ Seri Ahmad Faizal Azumu untuk bercuti daripada tugas-tugas rasmi susulan kes mahkamah yang sedang dihadapi ADUN Tronoh itu, adalah lembaran baharu dalam sejarah politik Malaysia.

Choo Kiong yang menafikan sekeras-kerasnya dakwaan merogol pembantu rumahnya, membuat keputusan untuk bercuti tidak sampai 48 jam selepas menolak cadangan berkenaan sebaik dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Ipoh pada Jumaat lalu.

Dakwaan Speaker DUN, Datuk Ngeh Koo Ham bahawa terdapat individu yang telah dibayar RM100,000 untuk membawa bekas pembantu rumahnya membuat laporan polis mendakwa dia dirogol beberapa jam sebelum pertuduhan dikenakan ke atasnya dikatakan menjadi pendorong kepada Choo Kiong untuk bertegas enggan bercuti.

Keengganannya untuk bercuti menjadikan Choo Kiong sasaran kritikan pemimpin-pemimpin dan para penyokong pembangkang. Kelmarin, Ketua Pembangkang DUN Perak, Datuk Saarani mengeluarkan kenyataan UMNO Perak terkejut dengan tindakan Choo Kiong. Para pemerhati juga berpandangan bahawa perkara yang terbaik buat Choo Kiong adalah untuk bercuti bagi membolehkan proses perundangan berjalan dengan bebas.

Ini meletakkan kerajaan Pakatan Harapan Perak yang diketuai oleh Ahmad Faizal dalam situasi yang sukar kerana wujud desakan dalam DAP supaya Choo Kiong terus memegang jawatan EXCO. Andai Bendahari DAP Perak itu bercuti, dia dianggap telah mengaku bersalah. Jika dia enggan bercuti, pembangkang akan mempertikaikan pendirian kerajaan PH dalam menghormati proses undang-undang.

Ini sekaligus meletakkan Choo Kiong, Menteri Besar dan jentera pentadbiran kerajaan negeri dalam keadaan yang tersepit. Diluah mati emak, ditelan mati bapa. Dalam masa sama, pemimpin—pemimpin pembangkang terus mempersendakan kerajaan PH yang dilihat lemah dalam bertindak ke atas Choo Kiong walaupun menyedari yang beliau masih belum didapati bersalah atas pertuduhan merogol. Malahan, penyokong-penyokong PH sendiri mendapat tempias daripada serangan penyokong pembangkang. Kemampuan Ahmad Faizal dalam menangani krisis pentadbiran negeri sekali lagi diuji.

Perhatian seluruh negara tertumpu kepada ADUN Chenderiang itu yang sebelum ini diuji dengan dakwaan cubaan menggulingkannya. Ini adalah dugaan yang terpaksa dihadapi oleh satu-satunya wakil rakyat Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) negeri Perak yang telah diberi kepercayaan untuk memimpin kerajaan Pakatan Harapan Perak.

Dalam menghadapi ujian getir terbaru ini, Ahmad Faizal sekali lagi membuktikan kemampuannya dalam menangani krisis apabila Choo Kiong akhirnya
bersetuju untuk bercuti daripada tugas-tugas rasmi sebagai ahli EXCO.

Dalam kenyataan medianya, Choo Kiong berkata dia meletakkan kepentingan negeri melebihi kepentingan peribadi sebagaimana yang telah dilakukannya sepanjang karier sebagai ahli politik. Ini adalah tindakan yang berjiwa besar – walaupun amat pahit, yang seharusnya menjadi contoh kepada mana-mana ahli politik dalam membersihkan nama mereka daripada sebarang dakwaan jenayah.

Inilah yang tidak pernah dilakukan oleh pemimpin-pemimpin kerajaan Barisan Nasional (BN) terdahulu sepanjang berkuasa selama 60 tahun. Kerajaan PH membuktikan komitmen untuk menegakkan kedaulatan undang-undang. Tidak ada pihak yang terlibat dalam siasatan ke atas Choo Kiong yang diberi tekanan, malah mereka bebas untuk menjalankan siasatan dan pendakwaan.

Ini bertentangan sekali dengan apa yang berlaku dalam kerajaan terdahulu, apabila pegawai-pegawai atasan yang menyiasat dakwaan salah laku pemimpin-pemimpin politik telah ditekan, ditukarkan malahan ada juga yang telah ditamatkan perkhidmatan dalam keadaan yang amat meragukan.

Mungkin kita tertanya-tanya di manakan suara-suara pemimpin pembangkang yang begitu lantang menyerang Choo Kiong dan kerajaan PH Perak tatkala para penjawat awam yang cuba menegakkan keluhuran Perlembagaan dan undang-undang negara ‘diserang’ atau ditakut-takutkan dengan pelbagai cara kerana menyiasat dakwaan kleptokrasi terbesar dalam sejarah moden dunia.

Aneh sekali, selepas kehilangan kuasa, mereka pula yang cuba menonjolkan diri sebagai pejuang-pejuang keadilan dan keluhuran undang-undang. Persoalannya, di manakah mereka tatkala tanah tercinta ini diperlekehkan oleh negara luar kerana didakwa mengamalkan rasuah dan salahguna kuasa yang meruntuhkan imej Malaysia di mata dunia. Dalam hal ini, pembangkang hari ini bolehlah diumpamakan seperti ayam, berkokok berderai–derai, ekor bergelumang dengan najis.

Ahmad Faizal dan Choo Kiong tidak mempunyai kuasa dalam kerajaan untuk mengubah keadaan pada waktu itu, tidak seperti pemimpin-pemimpin BN yang berada dalam kerajaan. Tetapi selepas diberi mandat oleh rakyat, mereka telah melakukan apa yang betul untuk dilakukan walaupun proses perundangan masih berjalan. Inilah yang tidak berjaya dilakukan oleh BN sepanjang 60 tahun berkuasa. – Joe Labu


Penulis hanya menggunakan nama samaran dan tulisan ini tidak semestinya mewakili pandangan rasmi pihak Independent.