Pembuangan Sampah Haram Berleluasa MBI Diminta Bertegas

Reading Time: 2 minutes

IPOH: Isu pembuangan sampah haram secara berleluasa menjadi topik panas sekali lagi apabila pihak Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) digesa bertindak lebih tegas terhadap warga Ipoh yang kebelakangan ini memandang `enteng’ dalam isu berkenaan.

Kawasan Lembah Kinta antaranya Kepayang, Klebang dan Menglembu merupakan kawasan yang kerap kali berlaku kegiatan pembuangan sampah haram sehingga menimbulkan suasana kurang senang kepada penduduk perumahan sekitar akibat pencemaran bau busuk. Lebih buruk lagi apabila tiba musim cuti perayaan yang menyebabkan bukan sahaja berlaku longgokan sampah yang tidak dikutip malah dibuang secara haram dimerata tempat oleh individu-individu yang tidak bertanggungjawab.

Menurut Pengerusi Biro Pengaduan Awam DAP Perak, Steven Chaw Kam Foon memandangkan isu pembuangan sampah haram ini semakin serius, pihak MBI digesa mengambil tindakan segera bagi menanganinya kerana ia menjejaskan imej Bandaraya Ipoh yang selama ini terkenal sebagai bandaraya bersih dan indah. Katanya, beliau telahpun menemui Datuk Bandar Ipoh, Datuk Zambri Man bersama beberapa orang wakil rakyat DAP untuk memaklumkan isu tersebut dan meminta MBI mengambil langkah segera dalam menanganinya.

Menurut Steven, Datuk Bandar telah mencadangkan agar denda RM500 yang dikenakan kepada pesalah yang membuang sampah haram dinaikkan kepada RM1,000.
Selain itu,katanya, pihak MBI akan sentiasa menjalankan program penerangan tentang kesedaran menjaga kebersihan kepada warga Ipoh.

“Apa yang saya lihat langkah untuk menaikkan denda langsung tidak memberi kesan selagi warga Ipoh tidak mempunyai disiplin diri dan kesedaran sivik tentang tanggungjawab menjaga kebersihan di kawasan rumah mereka.

“Kita menerima laporan tentang ada kes dimana pihak berkuasa meletakkan papan tanda denda di tempat pembuangan sampah haram sebaliknya ada individu mencabut papan tanda menulis kata-kata kesat dan melempar ke dalam longkang.’’ Katanya kepada pemberita di Wisma DAP, Ipoh pada Isnin.

Hadir sama Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan Pembangunan Modal Insan, YB Howard Lee. Pada sidang media yang sama seorang peniaga makanan, Yan Chee Kuan, 39, tampil untuk beramal bakti dengan menyumbang RM10,000 kepada Tabung Harapan Malaysia hasil jualannya bagi tempoh tiga hari bermula 7,8 dan 9 Jun ini. Menurut Yan, beliau membuka perniagaan seawal 7.30 pagi di tiga kawasan bermula 7 Jun di pasar SPPK, Pasir Putih, 8 Jun di Pasar Menglembu dan 9 Jun di pasar UTC Bandaraya Ipoh.

“Saya mula terpanggil untuk membuat kerja amal ini apabila melihat banyak syarikat besar menyumbang kepada Tabung Haparan Malaysia bagi membantu menangani hutang negara,’’ katanya.