Presiden PAS, Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang menemui Tun Mahathir di pejabatnya di Putrajaya hari ini. Turut menemani Hadi ialah Menteri Besar Terengganu, Ahmad Samsuri Mokhtar dan seorang lagi pemimpin PAS iaitu Datuk Mustafa Ali.
Tun dalam ciapan di Twitter CheDetOfficial menyebut “Saya berbesar hati menerima kunjungan YAB Menteri Besar Terengganu Dr Ahmad Samsuri Mokhtar @DrAhmadSamsuri dan Presiden PAS Datuk Seri Hj Hadi Awang @abdulhadiawang serta Datuk Mustafa Ali di pejabat saya pagi tadi.”
Kedua pemimpin itu adalah musuh ketat dalam arena politik sejak sekian lama. Mereka saling kecam-mengecam antara satu sama lain. Dalam kenyataan sebelum Pilihanraya yang lalu, Haji Hadi menyindir Tun M supaya berhenti berpolitik dan menyuruhnya bertaubat dan mendalami ilmu agama. Kenyataan itu dibalas oleh Tun M dengan berkata Hadi tidak bijak berpolitik dan dia yang patut bersara dan menjadi guru agama.
Beberapa hari yang lalu, Haji Hadi berkata PAS sedia menjadi penasihat kepada kerajaan Pakatan Harapan yang dipimpin oleh Tun M.