Pengamal Media Perlu Utamakan Semangat Cintakan Negeri – MB  

Reading Time: < 1 minute

IPOH | Menteri Besar Perak, Dato’ Seri Ahmad Faizal meminta pengamal media di negeri ini agar lebih mengutamakan semangat pejuangan cintakan negeri dan negara daripada mensensasi berita-berita yang tidak memberi manfaat kepada kepentingan rakyat.

Katanya, sebagai pengamal media mereka perlu sentiasa berganding bahu bekerjasama dengan kerajaan sedia ada bagi memastikan agenda pembangunan negeri dan kesejahteraan rakyat  dapat terus dilaksanakan.

Beliau juga meminta pengamal media bersatu di bawah satu kelab ataupun persatuan bagi memastikan kepentingan dan kebajikan ahli sentiasa terjaga.

“Saya diberitahu ketika ini  terdapat dua kelab media di Perak … ini tidak baik kerana ahli-ahli kelab berpecah dan tidak bersatu.

“Jika kita bersatu di bawah satu persatuan ataupun kelab maka segala bentuk bantuan untuk kebajikan ahli dapat segera disalurkan … misalnya kita dapat duduk bersama berbincang untuk menubuhkan koperasi dan mengubah taraf hidup ahli,” katanya.

Ahmad Faizal berkata demikian pada Majlis Raya Santai Media & Keluarga Bersama Menteri Besar Perak di Laman Darul Ridzuan, Ipoh malam tadi. Beliau dalam ucapan ringkasnya mengakui sangat suka bertemu dengan pengamal media dan beliau berasa ‘rileks’ bila berhadapan dengan media.

Majlis santai itu dimeriahkan dengan nyanyian karaoke oleh pengamal media yang turut disertai Dato’ Seri Ahmad Faizal sebelum majlis diakhiri dengan sesi bergambar beramai-ramai.

Turut hadir ialah sebahagian ahli keluarga pengamal media iaitu suami, isteri dan anak-anak mereka.