Peniaga Barangan Terpakai Lega Larangan Dimansuh

Reading Time: < 1 minute

IPOH – Ahli Persatuan Peniaga Barang Terpakai Ipoh kini boleh menarik nafas lega setelah lesen perniagaan barang terpakai yang dibekukan sejak tahun 2013 dimansuhkan.

Menurut Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Sumber Manusia dan Hal Ehwal Masyarakat India, A. Sivanesan, beliau telah mengadakan perbincangan dengan Datuk Bandar dan Ketua Polis Negeri dan mendakwa terdapat masalah teknikal dalam pembekuan lesen perniagaan barang terpakai. Lanjutan dari itu, Ketua Setiausaha Kerajaan Negeri telah mengeluarkan surat untuk mengenepikan pembekuan berkenaan.

Sivanesan juga berkata beliau juga menerima surat dari Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Sandra Ng yang menyatakan tiada halangan untuk membenarkan permohonan pembaharuan lesen perniagaan barang terpakai kepada pemegang lesen sedia ada selagi mereka memenuhi syarat-syarat dan garis panduan yang ditetapkan.

Beliau berkata demikian dalam satu sidang media di Restoran Tandori Grill di sini pada Ahad.

“Ini adalah perniagaan yang juga memberi manfaat kepada kerajaan, ia mengitar semula barangan terpakai, mereka akan pergi kutip, kalau mereka tiada, ia (barang terpakai) akan dibuang begitu saja,” katanya.

Persatuan Peniaga Barang Terpakai Ipoh ditubuhkan pada 2016 bertujuan untuk menjaga kebajikan ahlinya disamping membuat kerja-kerja amal seperti mengadakan tuisyen dengan kadar bayaran yang rendah, mengadakan program derma darah serta motivasi. Ia dianggotai seramai 130 peniaga.