SUKMA 2018: Perak Raih Emas Acara Bolasepak

Reading Time: 2 minutes

IPOH – Pasukan bolasepak Perak berjaya meraih pingat emas dalam perlawanan akhir menentang Kedah untuk edisi SUKMA 2018 malam tadi, yang menyaksikan Kedah kecundang 2 -1.

Separuh masa pertama menyaksikan kedua-dua pasukan ketandusan jaringan, namun di separuh masa kedua, Perak dikejutkan apabila Kedah memulakan jaringan pada minit ke-64 oleh Mohd Faidzul Daniel Mohd Nizam.

Kegembiraan Kedah tidak bertahan lama apabila selang beberapa minit selepas itu, Perak menyamakan kedudukan pada minit ke-67. Gol dijaringkan oleh Muhammad Alif Safwan Mohd Sallahuddin. Perlawanan kembali rancak apabila kedua-dua pasukan berbalas serangan. Perak akhirnya berjaya mengukuhkan kedudukan dengan gol kedua jaringan Muhammad Asyraaf Mat Pushni pada minit ke-71 menjadikan kedudukan 2-1.

Sehingga wisel penamat, Perak kekal dengan kedudukan itu Dengan kemenangan ini, Perak membawa pulang pingat emas untuk acara bolasepak Sukma 2018, Kedah pingat perak manakala Sabah pingat gangsa.

Perak yang merupakan juara kumpulan A sebelum itu mara ke perlawanan akhir mengalahkan Sabah 2-1 di Stadium Majlis Perbandaran Manjung. Kedah pula menewaskan juara bertahan Terengganu juga 2-1 dalam perlawanan separuh akhir di Stadium Lumut.

Turut mencemar duli menyaksikan perlawanan pada malam ini ialah Duli Yang Amat Mulia Raja Di-Hilir Perak Raja Iskandar Dzulkarnain ibni Almarhum Sultan Idris Iskandar Al-Mutawakkil Alallahi Shah II Afifurlah, Raja Muda Kedah, Tengku Sarafudin Badlishah Sultan Sallehuddin serta Tunku Bendahara Kedah, Tan Sri Tunku Abdul Hamid Thani Sultan Badlishah.

Menteri Besar Perak, Ahmad Faizal Azumu, YB Howard Lee dan YB Hasnul Zulkarnain Abd Munaim turut hadir menyaksikan perlawanan.