MB Perak Tawar Pembikin Filem Buat Pengambaran Di Chenderiang

Reading Time: < 1 minute

IPOH: Perak mutakhir ini menjadi lokasi bagi penerbit dan pengarah filem sama ada dalam bentuk komidi mahupun sejarah kerana mempunyai banyak lokasi menarik untuk pengambaran filem.

Buktinya filem-filem terdahulu contohnya Zombie Kampung Pisang dan terbaru filem Hantu Kak Limah arahan Mamat Khalid yang mencipta kejayaan dengan kutipan pecah panggung RM27.5 juta dalam tempoh 15 hari dilakukan lokasi penggambarannya di Perak.

Justeru Menteri Besar Perak, YAB Ahmad Faizal Azumu apabila ditanya wartawan menjawab, kerajaan negeri Pakatan Harapan (PH) sentiasa membuka ruang dan peluang kepada penerbit dan pengarah filem dalam dan luar negeri untuk menjadikan negeri ini sebagai lokasi penggambaran filem mereka.

Beliau berkata, ini kerana Perak menawarkan banyak lokasi menarik untuk diteroka dan paling sesuai untuk penggambaran filem.

Katanya, antara kawasan menarik itu adalah di Chenderiang, Tapah yang mempunyai keindahan alam semula jadi tanpa memerlukan tambahan set untuk dijadikan lokasi penggambaran filem.

“Dalam masa sama kita juga mempunyai keindahan alam seperti Tasik Banding, Bandaraya Ipoh dengan bangunan bersejarah begitu indah yang membolehkan pembikin filem datang ke Perak.

“Kerajaan negeri mengalu-alukan pembikin filem untuk menjadikan Perak sebagai set penggambaran filem.

“Tentunya kita akan memberikan kemudahan sebanyak mungkin kepada pembikin filem melabur dan membikin filem di sini,” katanya yang juga Adun Chenderiang.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas hadir tayangan khas filem Rise Ini Kalilah yang turut dihadiri penerbit filem tersebut, Desmond Ngai dan beberapa Exco Kerajaan Perak di TGV Station 18, Ipoh semalam.

Antara pelakon yang hadir, Sangeeta Krishnasamy, Mark O’Dea, Shashi Tharandan, Pengarahnya, M S Prem Nath.

Filem Rise: Ini Kalilah yang bertemakan perpaduan dan berinsprirasi pilihan raya umum 9 Mei lalu memulakan tayangan pada Khamis lalu di pawagam seluruh negara.