Perginya Seorang Sahabat Dan Pemimpin Hebat

Reading Time: 2 minutes
  1. Seorang sahabat setia yang saya diberi penghormatan berkhidmat di bawah kepimpinannya semasa dalam Pemuda PAS dahulu dan dalam AMANAH. Seorang yang senantiasa mencari titik perdamaian samada dalam masalah dalaman parti mahupun di luar parti. Beliau bersedia menjadi duta damai meredakan konflik antara kepimpinan mahupun dengan lawan.
  2. Kali terakhir bersamanya ialah pada 20 Jun baru ini dalam pertemuan santai makan tenghari meraikan kami ahli dewan negara dari AMANAH. Turut hadir YB Sen. Hasbi Muda dan YB Sen. Datok Wira Dr. Hatta Ramli. Kami berbual mesra tiada yang serius hanya makan dan tawa mengenangkan sejarah bersama dari PAS hingga ke AMANAH.
  3. Saya sempat bermusafir beberapa kali dengan beliau dalam dan luar negara. Semuanya untuk tujuan memperkenalkan perjuangan samada bersama PAS mahupun semasa bersama AMANAH. Beliau punya citarasa berjenaka dalam banyak kisah yang dikongsinya bersama walaupun ketika majlis resmi beliau kelihatan serius dalam penampilannya.
  4. Kami berkongsi perjalanan spiritual bersama ketika mengharungi saat-saat kepimpinan yang diuji dengan pelbagai kerenah dalaman dan luaran parti. Salehudin seorang yang menjaga waktu solat dan konsisten dengan solat dhuha. Sesekali beliau ajak sembang soal-soal yang membangkitkan jiwa, soal zikir dan alam kerohanian guna untuk jadi vitamin kepada permasalahan kepimpinan yang kami kongsi  bersama sesama rakan kepimpinan.
  5. Sedih dan pilu mengenangkan sahabat bernama Salehudin Ayub yang pergi pada saat kepimpinannya diperlukan untuk mengharungi medan pertarungan PRN. Allah lebih Mengetahui dan takdir Allah lebih besar dari perasaan mana-mana hambaNya. Allahyarham meninggalkan legasi Menu Rahmah yang memenfaatkan golongan yang memerlukan. Senantiasa memerah kederatnya untuk memenuhi amanah meringankan beban kos sara hidup rakyat. Semoga doa mereka mengiringi sahabatku Salehudin sebagai bekalan amal solehnya mengadap Rabbul I’zzah. Amin..

Kami akan merindui persahabatan ini, semua yang mengenali beliau akan bersetuju dengan saya, Salehudin adalah seorang yang jujur dalam kata-katanya dan sangat menghormati kawan dan lawan dan setia dengan janjinya. Semoga Allahyarham dibariskan bersama golongan solehin dan mendoakan Rahmat Allah mencucuri ke atas ruhnya. Al Fatihah….

Datuk Seri Sen. Dr. Mujahid Yusof Rawa
Naib Presiden AMANAH