Pulangkan Ubatan ‘Karsinogenik’ Kepada Pembekal dan Dapatkan Ganti – Dr. Lee

Reading Time: < 1 minute

Pengguna yang telah membeli dan masih menyimpan ubat darah tinggi yang dikesan mengandungi bahan aktif losartan diminta tidak panik, sebaliknya memulangkannya kepada pembekal, kata Timbalan Menteri Kesihatan Dr Lee Boon Chye.

Menurutnya, ubat tersebut tidak lagi boleh dijual kepada orang ramai selepas Kementerian Kesihatan menggantung pendaftaran tujuh produk ubat-ubatan yang dikesan mengandungi bahan tersebut bermula 7 Mac lepas.

“Ubat tersebut untuk jangka masa panjang boleh menyebabkan karsinogernik (boleh menyebabkan kanser), tetapi tidak ada kesan untuk jangka masa pendek.

“Pengguna yang sudah makan jangan panik, cuma pulangkan ubat tersebut kepada pembekal supaya boleh dapatkan gantian ubat tersebut untuk jenama lain.

“Sepatutnya, kalau ikut rekod tidak ada lagi ubat tersebut dalam simpanan dan mereka (pembekal) yang ada simpan stok lama memang kita sudah tarik balik,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Hari Buah Pinggang Sedunia Peringkat Negeri Perak di Meru di Ipoh hari ini.

Tujuh produk yang digantung ialah LOSAGEN 50 (Losartan Potassium Tablets 50mg); LOSAGEN 100 (Losartan Potassium Tablets 100 Mg) dan Losartas 50mg Tablets (Losartan Potassium Tablets 50mg).

Turut digantung adalah produk Losartas 100mgc Tablets (Losartan Potassium Tablets 100 Mg); TOZAAR PLUS LS 50/12.5mg Tablet (Losartan Potassium/ Hydrochlorothiazide); Tozaar 50mg Tablet (Losartan Potassium Tablets 50mg) dan Tozaar Tablets 100mg (Losartan Potassium Tablets 100 Mg).

Semalam, Ketua Pengarah Kesihatan, Dr Noor Hisham Abdullah menerusi satu kenyataan memaklumkan produk berkenaan sudah dikeluarkan daripada pasaran Malaysia kerana dikesan mengandungi losartan dengan sumber bahan aktif keluaran Hetero Labs Limited, India, yang digantung status pendaftaran di Malaysia bermula 7 Mac 2019

Dr Lee berkata pihaknya sentiasa melakukan pemantauan serta bekerjasama dengan agensi yang berkenaan di luar negara mengenai ubat yang dipasarkan di negara ini.

“Kita berkongsi maklumat dengan semua bahagian farmasi di negara-negara lain dan sekiranya ada sebarang ubat yang ada masalah kita akan berkongsi maklumat supaya tindakan setimpal boleh diambil,” katanya.