Pusat Inovasi Roket dan Aeroangkasa Negara di Manjung Bakal Wujud 9,000 Peluang Pekerjaan

Reading Time: 2 minutes

IPOH: Sebanyak 9,000 peluang pekerjaan yang menyasarkan tenaga kerja mahir ditawarkan apabila sebuah pusat Pusat Inovasi Roket dan Aeroangkasa Negara bakal dibangunkan di Tanjung Batu, Manjung tidak lama lagi.

Pusat berkenaan yang akan dibina di kawasan tanah berkeluasan 30.9 hektar menelan kos antara RM30 juta ke RM40 juta bagi pembinaan fasa pertama.

Ia bakal meletakkan Malaysia sebagai negara pertama di rantau ini untuk menawarkan perkhidmatan pelancaran dan pengurusan perkiraan detik untuk satelit NANO dan PICO.

Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNP) dalam satu kenyataannya menyebut projek tersebut merupakan hasil perjanjian memorandum persefahaman (MoU) antara anak syarikat PKNP, Perak 4.0 Industry Sdn Bhd dengan Syarikat Lestari Advanced Technology Sdn Bhd (LATSB) yang dimeterai hari ini.

Projek ini akan membuka peluang pekerjaan kepada kira-kira 1,000 orang tenaga kerja berkemahiran tinggi pada tahun 2020 dan 8,000 pekerja menjelang tahun 2040.

Menurut kenyataan itu, tempoh pembangunan fasa pertama secara keseluruhannya dijangka memakan masa bermula dari tahun 2019 hingga tahun 2024.

Ia melibatkan pembinaan Pejabat Pentadbiran, Bangunan Kimia, Bangunan Reka Bentuk, Bangunan Propelan, Bangunan Struktur dan Pengeluaran serta Bangunan Avionik dan Elektronik.

Pembinaan fasa kedua pula dijangka bermula pada tahun 2024 yang melibatkan pembinaan beberapa bangunan tambahan yang belum ditetapkan kos sepenuhnya buat masa ini.

Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad juga telah bersetuju untuk menjadi penasihat bagi pembangunan projek tersebut.

Majlis menandatangani MoU projek tersebut berlangsung di Pusat Pameran Antarabangsa Mahsuri (MIEC) di Langkawi, Kedah hari ini.

Ia disempurnakan Ketua Pegawai Eksekutif PKNP merangkap Pengarah Perak 4.0 Industry Sdn. Bhd., Mohd. Ariff Yeop Ishak bersama-sama Pengarah Urusan LATSB, Ahmad Joahari Abu Bakar. Majlis itu disaksikan Menteri Besar Perak, Dato’ Seri Ahmad Faizal Azumu.

Projek yang akan dibangunkan di atas tanah milik PKNP itu memberi sumbangan kepada pembangunan teknologi roket dan ‘propulsion’ tempatan pertama dalam industri pertahanan negara.

Menurut kenyataan itu lagi, dari sudut ketenteraan, pelan pembangunan ini dirangka bagi mengurangkan kebergantungan negara terhadap teknologi luar seperti sumber alat ganti dan sokongan logistik, pengubahsuaian, pembaik pulih serta membantu negara mengurangkan pengaliran wang keluar negara.