Hoki Piala Sultan Azlan Shah: Malaysia Gagal ke Final

Reading Time: < 1 minute

Sumber dipetik dari Berita Harian
Foto oleh Bernama

IPOH: Skuad hoki negara gagal gagal menempah tempat ke perlawanan akhir hoki Piala Sultan Azlan Shah selepas tewas kepada pasukan Korea Selatan 1-2 dalam saingan pusingan awal di sini, malam tadi.

Sebaliknya, lawannya itu pula layak ke final bertemu India yang turut mara selepas membenam Kanada 7-3 dalam perlawanan terdahulu. Ini adalah ulangan final edisi 2010 apabila kedua-dua pasukan diisytiharkan juara bersama selepas perlawanan dibatalkan akibat cuaca buruk.

Dalam aksi di Stadium Sultan Azlan Shah malam tadi, pada awal suku pertama perlawanan menyaksikan skuad Speedy Tigers mengasak kubu pertahanan lawan namun jaringan Firhan Ashari pada minit ke-15 menerusi gol padang dibatalkan kerana didakwa mengasari pemain lawan dalam kotak penalti.

Tidak lama selepas itu, Korea Selatan mengejutkan skuad kendalian Roelant Oltmans menerusi jaringan kapten pasukan, Lee Namyong pada minit ke-31 menerusi gol padang.

Skuad negara terpaksa berputih mata apabila pasukan lawan terus menjarakkan kedudukan dengan jaringan gol kedua oleh Jonghyun Jang pada minit ke-35 menerusi pukulan sudut penalti.

Bersambung pada suku keempat, peluang mendapat pukulan sudut penalti dua kali berturut-turut digunakan sepenuhnya oleh skuad negara untuk merapatkan kedudukan menerusi jaringan kapten pasukan, Razie Rahim pada minit ke-46.

Malaysia sekali lagi cuba mengintai peluang menerusi pukulan sudut penalti kesembilan namun rembatan Razie tersasar dari gawang gol.

Ketika ditemui selepas perlawanan, Roelants berkata, meskipun tewas kepada Korea Selatan, beliau berbangga dengan prestasi anak buahnya kerana mampu memberi persembahan terbaik.

“Mereka bermain dengan baik malam ini. Tiga gol dibatalkan oleh pengadil namun nasib tidak menyebelahi kita dan kita harus menerima keputusan itu,” katanya.

Pasukan Malaysia akan bertemu Kanada pada Jumaat ini bagi menentukan kedudukan tempat ketiga dan keempat.