Pihak Pengurusan SUKMA Gagal Sediakan Template Kedudukan Pungutan Pingat

Reading Time: < 1 minute

Bahagian teknikal pengurusan SUKMA 2018 amat mengecewakan apabila mereka tidak dapat membantu kami untuk mendapatkan ‘kod html’ atau ‘widget’ untuk seksyen kedudukan pungutan pingat atau ‘medal standing’ seperti yang terpampang di dalam laman web rasmi SUKMA 2018 seperti dalam gambar.

Lebih memalukan apabila kami bercakap dengan pihak yang berkenaan, mereka mencadangkan menggunakan kaedah ‘tangkap layar’ atau ‘screen capture’ kemudian memasukkan ke dalam laman web kami. Adakah mereka sedang membuat lawak dengan memberi jawapan sedemikian?

Siapa yang tahu tentang pembangunan struktur laman web akan faham apa yang kami maksudkan ini. Untuk seksyen status pungutan pingat, ia bukanlah sesuatu yang boleh dibuat secara ‘screen capture’ kerana kedudukan pingat sentiasa berubah setiap masa. Adakah mereka mahu kami buat ‘screen capture’ setiap saat atau minit setiap kali kedudukan pingat berubah? Adalah amat melucukan menerima jawapan sedemikian dari pihak pengurusan SUKMA yang berada di pusat media.

Setelah menghubungi melalui telefon ke pejabat SUKMA, mereka gagal memberikan jalan penyelesaian, kemudian memberi kami nombor telefon Majlis Sukan Negara (MSN) untuk dihubungi. Cubaan kami untuk menghubngi nombor yang diberi berkali-kali telah gagal.

Maka dengan itu, kami ingin membuat kenyataan di sini bahawa untuk mengetahui kedudukan pungutan pingat, kami tidak dapat menyediakannya di laman web ini sebaliknya anda perlu perlu pergi ke laman web rasmi SUKMA iaitu di http://result.perak.gov.my

Diharap di masa akan datang, pihak yang berkenaan dapat membekalkan pakar dalam bidang IT untuk memberikan khidmat yang terbaik kepada pihak media seperti kami.