PPS Changkat Lobak di daerah Kerian ditutup 2 petang ini

Reading Time: < 1 minute

BAGAN SERAI, 4 Nov — Pusat pemindahan sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan (SK) Changkat Lobak yang menempatkan 149 mangsa banjir daripada 35 keluarga akan ditutup pada pukul 2 petang ini.

Pegawai Daerah Kerian Mohd Sabli Bakri yang juga Pengerusi Jawatankuasa Bencana Daerah berkenaan berkata PPS yang telah dibuka sejak 21 Okt lepas itu menempatkan mangsa banjir yang tinggal di sekitar Jalan FT 147 Bagan Serai-Selama, Kampung Matang Tengah dan Kampung Changkat Lobak.

Kesemua mereka dibenarkan pulang ke rumah masing-masing selepas paras air menyurut, katanya.

“Saya merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada semua jabatan dan agensi yang terlibat dalam membantu dan menyelaraskan PPS tersebut sepanjang ia beroperasi,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

— BERNAMA