Jalan Bagan Serai – Selama Dibuka Semula

Reading Time: < 1 minute

PARIT BUNTAR, 4 Nov — Jalan Raya Bagan Serai-Selama yang ditutup sepanjang 1.5 kilometer akibat ditenggelami banjir sejak 21 Oktober lalu, dibuka semula kepada semua jenis kenderaan semalam.

Exco Kemudahan Awam dan Infrastruktur, Pertanian dan Perladangan Perak, Dato’ Abdul Yunus Jamhari berkata bagaimanapun pengguna yang melalui jalan itu dinasihatkan supaya  berhati-hati kerana air masih bertakung di tebing jalan raya berkenaan.

Katanya, Jabatan Kerja Raya (JKR) juga telah memasang pelan pengurusan trafik sebagai langkah keselamatan kepada pengguna yang melalui jalan tersebut.

“Jalan itu dibuka setelah JKR memastikan jalan berkenaan selamat untuk digunakan di samping mendekatkan hubungan di kawasan Alor Pongsu dan Selama,” katanya dalam sidang media selepas merasmikan Majlis Penyampaian Zakat Fisabilillah Tenaga Nasional Berhad (TNB) Perak di Dewan Jabatan Kemajuan dan  Keselamatan Kampung (JKKK) Tanjung Piandang dekat sini, hari ini.

Pada majlis itu, seramai 500 pelajar dari 15 buah sekolah menengah dan kebangsaan di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Kurau menerima zakat TNB berjumlah RM87,000 di mana setiap seorang pelajar sekolah menengah menerima RM200 manakala setiap seorang murid sekolah kebangsaan menerima  RM150.

Selain itu, Abdul Yunus yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Kurau berkata TNB telah mengeluarkan sebanyak RM2.4 juta zakat untuk diagihkan kepada lima kategori penerima pada tahun ini.

Ia melibatkan projek baiti jannati, pendawaian elektrik, membaik pulih rumah, institusi agama (masjid dan surau) dan zakat fisabilillah, katanya.

Sementara itu, beliau berkata kerajaan negeri masih dalam peringkat penyelarasan dengan beberapa agensi kerajaan berhubung masalah sistem pengairan yang dihadapi petani di Seberang Perak.

“Ini kerana sistem pengairan di sana menghadapi beberapa masalah termasuk petani mengalami kekurangan bekalan air,” katanya.

— BERNAMA