Kerajaan Negeri Komited Atasi Masalah Kurang Nutrisi Kanak-kanak Orang Asli

Reading Time: 2 minutes

MUALLIM | Kadar kematian anak Orang Asli berumur di antara 6 bulan hingga 6 tahun berjaya dikurangkan sejak Jabatan Kesihatan Negeri Perak mewujudkan Program Community Feeding (PCF) Januari lalu.

Menurut Menteri Besar Perak, Dato’ Seri Ahmad Faizal Azumu, sehingga September 2019, PCF telah memberi manfaat kepada hampir 700 kanak-kanak Orang Asli melalui 27 pusat agihan melibatkan kakitangan Jabatan Kesihatan dan 56 orang sukarelawan dari kalangan masyarakat Orang Asli di penempatan terpilih seluruh negeri Perak.

Katanya, kawasan yang terlibat dalam inisiatif perintis PCF adalah penempatan Orang Asli yang mengalami masalah kekurangan nutrisi di kalangan kanak-kanak.

”Saya ingin mengucapkan tahniah kepada Jabatan Kesihatan Negeri kerana telah berjaya meningkat dan mengekalkan status pemakanan kanak–kanak Orang Asli yang berumur di antara 6 bulan sehingga 6 tahun, sekaligus berjaya mengurangkan kadar kematian kanak-kanak di kalangan Orang Asli di kawasan yang terlibat dalam PCF,” katanya ketika berucap merasmikan Program Community Feeding (PCF) Pos Tenau hari ini.

Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Hal Ehwal Pengguna, Masyarakat Sivil, Integrasi Nasional dan Sumber Manusia negeri, A. Sivanesan, Pengarah Kesihatan Negeri Perak Datuk Dr Ding Lay Ming, Pengarah Bahagian Pemakanan, Kementerian Kesihatan Malaysia, Zalma Abd Razak, Pengarah Jabatan Kemajuan Orang Asli Perak dan Kedah, Harulnizam Abd Rahman dan Pegawai Daerah Muallim, Shamsul Ridzuan Idris.

Pada majlis itu, Ahmad Faizal juga menyampaikan tajaan RM500,000 daripada TNB Janamanjung Sdn Bhd untuk inisiatif PCF bagi tahun 2019 serta merasmikan Program Kesihatan Komuniti Pos Tenau 2019 ’Kenun Mai Malaysia Cengrek’ Tahun 2019 Peringkat Negeri Perak bagi mempromosikan pengambilan susu dalam diet di kalangan kanak-kanak Orang Asli.

Beliau memuji pendekatan yang diambil oleh Jabatan Kesihatan yang melatih masyarakat Orang Asli sebagai sukarelawan bagi memastikan semua kanak-kanak Orang Asli hadir untuk mendapatkan bekalan makanan tambahan yang terdiri dari susu tepung, vitamin, bijirin, biskut dan makanan berprotein seperti ayam dan telur.

“Ppendekatan Jabatan Kesihatan Negeri Perak ini telah menjadi pusat rujukan dan lawatan sambil belajar oleh pelbagai agensi seluruh Malaysia,” katanya.

Dalam ucapannya, beliau turut menyatakan komitmen kerajaan negeri untuk terus menyokong usaha Jabatan Kesihatan dalam membantu mengatasi masalah kekurangan nutrisi di kalangan kanak-kanak Orang Asli di Perak.