PAS Terdesak Mahukan Undi Bukan Melayu

Reading Time: 2 minutes

Kenyataan Presiden PAS Dato Seri Abdul Hadi Awang berhubung dengan RUU355 jelas menunjukkan
para pemimpin parti itu keliru dan terkial-kial dengan apa yang mereka dakwa perjuangan dan
prinsip parti. Ini berbeza dengan MCA yang konsisten dan tegas menolak rang undang2 berkenaan.

Abdul Hadi dalam kenyataan terbarunya semalam berhubung pandangan calon Barisan Nasional
Tanjung Piai, Jeck Seng yang mengulangi kenyataan menolak hudud sebagai pendapat peribadi calon
dan bukan pendapat parti MCA. Sedangkan semua orang tahu calon MCA itu mengutarakan
pandangan parti. Ia jelas menunjukkan MCA tegas dengan pandangan mereka sementara PAS cuba
berselindung di sebalik sehelai lalang. Soalnya di sini sejak bila MCA berkecuali atau tidak menentang
hukum hudud?

Sekiranya Abdul Hadi seorang yang tegas dan berprinsip, beliau sepatutnya keluar dari
persekongkolan yang PAS buat dengan Umno, MCA dan MIC itu. Tidakkah beliau sedar bahawa isu
hudud jugalah yang dijadikan alasan oleh Abdul Hadi dan parti PAS pada 2015 untuk meninggalkan
Pakatan Rakyat?

Kenyataan Presiden PAS ini jelas menunjukkan betapa parti itu terdesak untuk mendapatkan undi
bukan Melayu. Bermula daripada Ketua Dewan Ulamak parti itu yang menyatakan larangan mengundi
calon bukan Islam tidak mutlak. Diikuti pula kenyataan oleh Pesuruhjaya PAS Kedah yang
mensifatkan MCA pada hakikatnya sebagai menjual produk Islam.

Terbaru di Tanjung Piai, MCA sekali lagi mengulangi dengan tegas pendirian mereka menolak produk
PAS yang dijenamakan sebagai RUU355 itu. Dan Abdul Hadi tanpa malu menyatakan itu tidak
mengapa kerana PAS bekerjasama dengan MCA dan bukan dengan calon Cina tersebut.

Rencam sungguh politik Abdul Hadi. Yang jelas PAS sudah tidak mampu untuk bergerak secara solo
lagi sebagaimana yang dicanangkan sewaktu mereka menolak Pakatan Rakyat dulu.
Keadaan terdesak PAS ini membuatkan mereka sanggup berbuat apa saja asalkan dapat kawan!

Terbaru Abdul Hadi sanggup membenamkan kepalanya ke dalam pasir demi meneruskan
kelangsungan persekongkolan PAS dengan parti-parti perkauman seperti UMNO, MCA dan MIC.
Mungkin selepas ini UMNO, MCA dan MIC boleh bercakap apa saja yang mereka suka kerana label
Islam dan halal telah diberikan secara borong oleh PAS.

Dr. Abdul Aziz bin Bari, Naib Pengerusi DAP Perak


Tulisan di atas adalah pandangan peribadi penulis yang diedarkan dalam bentuk kenyataan media. Ia tidak semestinya mewakili pandangan rasmi Independent