Presiden Kata Agenda Politik, MB Kata Jangan Emosi

Reading Time: 3 minutes

Presiden Persatuan Bolasepak Perak (PAFA), Hasnul Zulkarnain Abd Munaim mendakwa di dalam klip video permohonan maaf beliau bahawa terdapat unsur-unsur politik dalam gesaan penyokong bolasepak Perak supaya beliau meletak jawatan sebagai presiden persatuan itu.

Beliau mendakwa masih lagi mendapat sokongan penuh dari jawatankuasa PAFA dan mempunyai rancangan jangka panjang untuk pasukan negeri meneruskan kejayaan dalam sukan bolasepak.

Dalam satu sidang media di Parit Buntar baru-baru ini, apabila ditanya oleh wartawan, beliau berkata telah berhubung dengan ‘dua, tiga’ kelab penyokong dan mereka memberi sokongan penuh kepadanya untuk terus menerajui PAFA.

Dalam waktu yang sama, beliau mendakwa ada motif politik di sebalik gesaan penyokong pasukan bolasepak agar beliau meletak jawatan.

Menguatkan kenyataannya, pada awal mengambil alih tugas sebagai presiden, terdapat beberapa serangan-serangan dari pihak yang mempunyai agenda peribadi.

Semalam, dalam satu sidang media di Ipoh, Menteri Besar yang baru mendapat gelaran Dato’ Seri, Ahmad Faizal Azumu ketika diminta mengulas mengenai desakan meminta Hasnul Zulkarnain melepaskan jawatan presiden PAFA, beliau meminta penyokong supaya mengawal emosi.

Menurutnya, beliau menerima pandangan penyokong dan sudah berbincang dengan Presiden PAFA mengenai beberapa perkara untuk mencari jalan penyelesaian bagi meredakan kemarahan penyokong.

“Penyokong perlu mengawal emosi dan memikirkan cara terbaik menguruskan kejayaan kerana kita akan bertanding di peringkat lebih besar lepas ini iaitu Piala AFC.

“Justeru, saya akan cuba mencari jalan penyelesaian bagi meredakan kemarahan ini sekali gus membolehkan pasukan fokus untuk kejayaan seterusnya,” kata Ahmad Faizal.

Nampaknya kedua-dua, presiden dan Menteri Besar ini tidak sensitif dan tidak memahami kehendak penyokong bolasepak Perak yang telah menjadi penyokong setia sejak bertahun-tahun lamanya tanpa mengira fahaman politik.

Bolasepak menyatukan rakyat berbilang fahaman politik, bangsa dan agama. Dengan bolasepak, rakyat telah membuktikan mereka boleh bersatu padu tanpa membeza-bezakan antara mereka. Apabila mereka telah bersuara, tidak seharusnya mereka terus dituduh mempunyai agenda politik atau mengikut emosi. Ini bukan soal emosi. Ini adalah soal penghormatan terhadap piala berprestij dan menjadi idaman setiap pasukan sejak berpuluh tahun lamanya.

Apabila berlaku desakan yang terlalu kuat seperti ini, sehingga berpuluh-puluh kain rentang dan poster dipamerkan di segenap pelusuk negeri, adakah ini masih tidak cukup kuat untuk menunjukkan kehendak dan desakan penyokong bolasepak? Penyokong bolasepak bukan saja terdiri dari mereka yang duduk di bawah persatuan bolasepak, ada juga yang memang menyokong secara individu dan jumlah mereka terlalu ramai, masalahnya mereka tidak punya saluran rasmi untuk menyampaikan gesaan supaya presiden berhenti. Sudah sampai masanya presiden melepaskan jawatan dan memberikan fokus kepada ugas lain yang masih banyak yang perlu dilakukan.

Sejak dari awal lagi saya tidak bersetuju persatuan bolasepak dipimpin oleh orang politik. Kini apa yang saya persetujui telah terbukti benar. Orang politik tidak perlu masuk campur dalam urusan sukan.

Biarlah mereka yang benar-benar faham tentang sukan bolasepak untuk memimpin persatuan, bukan orang politik. Jangan teruskan budaya lama, contohnya dari semasa era Pakatan Rakyat, dimana presiden PAFA diterajui oleh orang politik berjubah dan berjanggut panjang seperti Taliban iaitu Azli Musa dari PAS. Selepas itu, Abdul Puhat Mat Nayan, seorang lagi orang politik dari UMNO menjadi presiden. Kini, budaya itu diteruskan oleh kerajaan Pakatan Harapan dengan melantik Hasnul dari parti Amanah.

Adakah perlu setiap persatuan sukan diterajui oleh orang politik? Apakah alasan yang paling munasabah untuk menghalalkan tindakan sedemikian. Adakah kerana gilakan jawatan maka dicari-cari alasan lain untuk menghalalkan tindakan mereka? Tidak cukupkah jawatan yang mereka pegang sekarang sebagai wakil rakyat dengan gaji serta elaun berjumlah puluhan ribu ringgit sebulan?

Menteri Besar perlu melihat desakan ini dari sudut pandangan yang berbeza. Jangan melihat dari sudut emosi semata-mata. Fikirkan apa yang penyokong bolasepak mahukan dan kenapa mereka tidak bersetuju dengan preesiden yang ada sekarang ini.

Sebagai wartawan, kami mempunyai pelbagai sumber dan saya mendapat maklumat dari sumber yang sangat boleh dipercayai bahawa tidak berapa lama lagi akan ada lagi isu berbangkit berkaitan kepimpinan PAFA tetapi saya tidak mahu berbicara tentangnya buat masa ini. Kita hanya boleh melihat dan tidak mampu membuat apa-apa, apa lagi menasihati mereka yang duduk di jawatan tertinggi di atas sana. Biarkan masa menentukannya.

Sudah sepatutnya presiden melepaskan jawatan dan kerajaan PH patut menujukkan contoh terbaik dengan memulakan tradisi melepaskan jawatan tertinggi dalam persatuan sukan diterajui oleh tokoh sukan yang mempunyai kredibiliti memimpin persatuan.

Adalah lebih baik mulakan dari sekarang atau ia tidak akan pernah berlaku sampai bila-bila.