41 peneroka tertekan penanaman di kawasan bukit tidak sesuai … boleh mengancam nyawa

Reading Time: 3 minutes

IPOH: “Bagaimana saya mahu menanam sayur di kawasan berbukit bercerun yang sangat merbahaya sedangkan hendak menunggang motosikal mendaki bukit pun berdepan masalah.

“Kawasan bukit di sini bercerun…silap-silap nyawa saya melayang kalau terjatuh ke dalam cerun tinggi. 
“Saya merasa amat tertekan … mahu menolak pampasan tanah ganti yang diberikan oleh pejabat tanah pentadbiran kerajaan terdahulu bermakna saya akan kehilangan segalanya.
“Saya mengharapkan kerajaan negeri pentadbiran baharu ini dapat mencari tanah ganti yang lebih sesuai buat kami peneroka Changkat Kinding mengusahakan tanaman sayur dalam keadaan lebih selesa,” demikan luahan Wong Kiau yu, 64 seorang peneroka sayur dari Changkat Kinding kepada Independent.my pada Khamis.

Wong merupakan salah seorang daripada 41 peneroka Changkat Kinding yang berdepan kesulitan besar mahu menanam sayur di kawasan bukit bercerun di Bukit Rampas kira-kira 15 kilometer dari Simpang Pulai. Kisah Wong mendapat perhatian para wartawan .

Pada pagi Khamis, 50 peneroka termasuik Wong yang diwakili ADUN Hulu Kinta dari PKR, Muhamad Arafat Varisai Mahamad telah membuat laporan SPRM kerana mendakwa berlaku penipuan dan pemalsuan dalam penyampaian pampasan apabila 41 daripada 50 peneroka menerima pampasan yang dijanjikan manakala selebihnya diberikan kepada individu disyaki bukan peneroka di situ.

Pentadbiran kerajaan terdahulu memaklumkan tanah yang diusahakan kesemua peneroka berkenaan sejak 1960 akan diambil untuk tujuan pembangunan Rancangan PerumahanTersusun (RPT).

Muhamad Arafat memberitahu dalam satu sidang media bahawa kemelut tanah itu bermula sebelum Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) lagi dimana pentadbiran Barisan Nasional (BN) terdahulu memaklumkan tanah yang diusahakan kesemua peneroka terbabit sejak 1960 akan diambil alih bagi tujuan pembangunan Racangan Perumahan Tersusun (RPT).

“Untuk keluar pihak syarikat dan pejabat tanah telah memaklumkan akan beri pampasan dan tanah ganti di Simpang Pulai, peneroka dipaksa menerima tanah gantian itu yang dilihat tidak sesuai untuk tanaman sayur-sayuran.

“Kami mohon Menteri Besar tolong batalkan rancangan RPT dan projek perumahan di tanah berkenaan dan mengarahkan syarikat memberhentikan serta merta segala bentuk kerja pembangunan serta mengembalikan tanah berkenaan untuk tujuan pertanian khususnya sayur-sayuran,” ujarnya ketika menyampaikan memorandum kepada pejabat Menteri Besar.

Sementara itu Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu memberitahu pemberita bahwa kerajaan negeri akan mengambil pendekatan mencari jalan tengah mendengar pendapat dari kedua belah pihak berhubung kemelut di antara pemaju dan penanam sayur di Changkat Kinding.

Katanya, sebagai kerajaan negeri yang bertanggungjawab terhadap masalah rakyat, beliau perlu meneliti isu berkenaan secara lebih mendalam sebelum apa-apa tindakan diambil bagi memastikan tiada pihak yang teraniaya.

“Saya dapat maklumat sebelum ini pemaju telahpun memberi pampasan kepada peneroka meneroka tanah itu dan mereka juga (peneroka) telah tandatangani satu dokumen yang menyebut mereka tidak akan ambil apa-apa tindakan sekiranya pemaju meneruskan projek yang dirancangkan.

“Namun hari ini keadaan berbeza berlaku apabila mereka (peneroka) bersama wakil rakyat (ADUN Ulu Kinta) telah cuba mempertahankan tanah-tanah kebun mereka dan satu memorandum juga telah diserahkan kepada pejabat saya,” katanya dalam satu sidang media pada Khamis.

Beliau mengulas tindakan 50 petani di Changkat Kinding yang membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Meru hari ini mengenai isu pemberian tanah ganti kepada mereka oleh kerajaan negeri terdahulu.

Menurut Ahmad Faizal, walaupun bersimpati dengan nasib petani-petani itu yang mendakwa diberikan tanah ganti tidak sesuai untuk dijadikan tanah kebun, namun kerajaan negeri perlu berlaku adil kepada semua pihak dan mengambil kira kepentingan awam.

Teroka Tanah Bukan Hakmilik Kemudian Dapat Pampasan

“Sudah tentu tanah (ganti) itu diberi sedikit jauh dan sebagainya namun sebagai kerajaan kita mesti fikirkan kebaikan semua rakyat, kalau kita dah menceroboh tanah bukan milik kita, terima pampasan dan dapat tanah di tempat lain, (fikirkan) ramai lagi rakyat di luar sana tidak ada tanah pun.

“Kita mesti adil kepada semua pihak, saya amat bersimpati terhadap nasib petani dan pekebun di negeri ini, saban hari saya berbincang bersama Exco lain bagaimana nak selesaikan masalah peneroka tanah, namun dalam masa sama kita (peneroka) tak boleh terlalu memilih … kerana sesuatu tindakan itu demi kepentingan umum,” ujarnya.

Ahmad Faizal menambah, kerajaan tetap bertegas akan menyelesaikan kemelut itu secara adil dalam situasi menang-menang di antara kedua pihak.