Hasnul Akur Kehendak Penyokong The Bos Gaurus

Reading Time: 2 minutes

“Baru kamu semua puas hati, Hasnul dah letak jawatan. Ini yang kamu semua mahu,” tulis salah seorang penyokong kuat Hasnul di dalam kumpulan Whatsapp yang jelas kecewa.

Setelah menerima desakan demi desakan serta tohmahan yang melampau supaya meletak jawatan, akhirnya Hasnul Zulkarnain akur untuk melepaskan jawatannya sebagai presiden Persatuan Bolasepak Perak (PAFA).

Saya mendapat jemputan untuk hadir ke sidang media beliau petang semalam tapi kerana ada tugas lain yang perlu dibuat, jadi saya tidak dapat menyaksikan detik-detik penuh emosi itu. Saya sudah mengagak apa yang bakal berlaku di dalam sidang media itu dan tekaan saya tepat.

Inilah yang seharusnya beliau lakukan. Tindakan melepaskan jawatan adalah harga yang beliau perlu bayar atas tindakan beliau sebelum ini yang menimbulkan kemarahan penyokong bolasepak Perak. Tidak cukup dengan permohonan maaf, beliau telah membuktikan keikhlasan beliau untuk melepaskan jawatan penting itu sebagai mengambil tanggungjawab terhadap apa yang telah dilakukan sebelum ini.

Inilah harga sebuah maruah yang tidak boleh diperdagangkan dengan nilai yang sedikit.

Bagi menjawab tuduhan dalam ruangan Whatsapp di awal artikel ini, sebenarnya bagi peminat setia bolasepak Perak, tidak ada rasa dendam atau sebarang sentimen negatif terhadap Hasnul di kalangan mereka yang mendesak beliau meletak jawatan. Jauh sekali agenda politik seperti yang didakwa. Yang terlebih-lebih dalam membuat komen dan hamburan kata-kata yang menyakitkan hati itu mungkin kerana mereka tidak dapat menahan perasaan marah dan kecewa.

Apa yang mereka mahukan ialah beliau mengambil tanggungjawab terhadap apa yang telah beliau lakukan. Tidak sekadar memohon maaf secara lisan.

Beliau telah membuktikan kepada penyokong bahawa maruah tidak boleh dibeli. Tindakan ini mampu mengembalikan keyakinan orang ramai terutama rakyat Perak amnya dan penduduk Titi Serong yang beliau wakili khasnya bahawa beliau bukan seorang yang gila kuasa.

Tindakan melepaskan jawatan akan menutup suara-suara tidak puas hati dan gesaan bertali arus supaya beliau meletak jawatan.

Beliau patut diberikan semangat untuk meneruskan tugas-tugas beliau sebagai wakil rakyat dan melupakan perkara yang telah berlaku.

Kembalilah menjadi seorang pemimpin yang berwibawa, bertanggungjawab dan keputusan yang berat ini tidak ada sesiapa lagi yang boleh pertikaikan.