Pegawai, Pemain Bola Sepak Perak Terima Insentif RM10,000 Dan Lot Tanah

Reading Time: < 1 minute

KUALA KANGSAR: Kerajaan negeri Perak membalas jasa setiap pegawai dan pemain dalam pasukan bola sepak Perak kerana kejayaan menjulang trofi Piala Malaysia 2018 apabila mengumumkan pemberian insentif RM10,000 kepada mereka.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu ketika mengumumkan khabar gembira itu berkata, kerajaan negeri juga akan memberikan satu lot tanah kepada mereka untuk didirikan satu unit rumah.

Beliau bagaimanapun tidak menyatakan secara terperinci lokasi lot-lot tanah yang akan diberikan itu.

Ahmad juga menjelaskan insentif tersebut merupakan insentif yang berasingan daripada insentif yang bakal diberikan Persatuan Bola Sepak Perak (PAFA).

“Saya tidak dapat pastikan insentif daripada PAFA. Saya belum berhubung dengan mereka lagi … Tetapi saya percaya, seperti yang dijangkakan, wang yang telah dimenangi mereka akan diberikan kepada pemain.

“Sama ada insentif daripada PAFA sudah diterima atau tidak kepada para pemain dan pegawai, itu saya tidak pasti.

“Namun, daripada kerajaan negeri, kita akan serahkan secepat mungkin dan ia berkemungkinan kita akan adakan dalam satu majlis,” katanya kepada pemberita pada Acara Larian Hari Keputeraan Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah di Dataran Pavillion, Kuala Kangsar pada Ahad.

Selain dua insentif itu, 29 pemain dan pegawai skuad The Bos Gaurus (TBG) telah menerima perkenan Sultan Perak untuk menerima pingat, bersempena Hari Keputeraan Baginda di Istana Iskandariah semalam.

Dalam perkembangan sama, Ahmad Faizal juga mencadangkan kepada kerajaan negeri supaya insentif turut diberikan kepada skuad hoki Perak yang telah berjaya mempertahankan gelaran juara kali kelima, Kejohanan Piala Tun Razak baru-baru ini.

“Kita tidak dapat buat pengumuman hari ini kerana ianya masih belum dibincangkan,’’ katanya.