Rakyat Perak Berhak Tahu Apa Sedang Berlaku Kepada PCB

Reading Time: < 1 minute

IPOH | Ketua Penyelaras Parti Putra Negeri Perak, Datuk Hamidah Osman hari ini mendedahkan bahawa syarikat milik kerajaan negeri Perak, Perak Corp Berhad sedang berada dalam situasi ‘ICU’ (tenat) dan hanya menunggu masa riwayatnya ditamatkan kerana gagal membayar hutang yang besar kepada pihak bank.

Katanya lagi, Perak Corp Berhad sudah berkali-kali menghadapi tuntutan-tuntutan dari pemiutang melalui mahkamah dan perkara itu merupakan suatu yang amat serius.

Yang peliknya saya tak faham kenapa perkara ini tidak pernah disuarakan oleh sesiapa terutama parti-parti politik yang mempunyai wakil di Dewan Negeri seperti DAP, PKR dan AMANAH serta UMNO dan PAS

“Perkara ini seharusnya diketahui oleh seluruh rakyat Perak. Yang peliknya saya tak faham kenapa perkara ini tidak pernah disuarakan oleh sesiapa terutama parti-parti politik yang mempunyai wakil di Dewan Negeri seperti DAP, PKR dan AMANAH serta UMNO dan PAS, “kata beliau semasa sidang media yang diadakan di Ipoh hari ini.

Beliau yang juga Naib Presiden Putra Malaysia berkata berasa terpanggil untuk menjelaskan keadaan sebenar syarikat Perak Corp kerana ia melibatkan kepentingan awam termasuk kepentingan pihak pemegang saham.

“Ia bukanlah suatu rahsia kerana semuanya dilaporkan di BSKL (Bursa Saham Kuala Lumpur).

“Saya nak dedahkan perkara ini untuk makluman semua rakyat Perak supaya mereka tahu apa sedang berlaku kepada syarikat besar milik kerajaan negeri di bawah PKNP ini yang sedang berdepan status bankrap, ” katanya.

Datuk Hamidah turut meminta supaya satu lagi syarikat milik kerajaan negeri iaitu Lumut Port tidak dijual kepada mana-mana syarikat asing demi memelihara keselamatan negara.

“Selain itu, saya juga meminta supaya kerajaan negeri ataupun kerajaan pusat selamatkan Lumut Port dari dijual kepada syarikat asing.

“Saya dengar sudah ada rundingan-rundingan mahu menjual Lumut Port kepada syarikat asing, ini tidak seharusnya berlaku demi keselamatan negara, “ujarnya.