Hamidah Tidak Sedar Beliau Dahulu Bersama UMNO – Aziz Bari

Reading Time: < 1 minute

Dakwaan Datuk Hamidah Osman bahawa Pakatan Harapan berdiam diri sewaktu menjadi kerajaan selama 22 bulan dalam skandal syarikat milik kerajaan negeri seperti MAPS adalah tidak benar, menurut Ketua Pembangkang DUN Perak, Dr. Abdul Aziz Bari.

Tambahnya, Hamidah pernah berada di dalam pentadbiran Datuk Seri Zambry Abdul Kadir yang bertanggungjawab meletakkan negeri Perak terperangkap di dalam skandal itu.

“Beliau seolah-olah tidak sedar siapa beliau sendiri. Kita semua tahu meskipun sekarang beliau bersama sebuah parti pembangkang, beliau pernah bersama dengan Umno, ” menurut Aziz dalam satu kenyataan yang dihantar melalui aplikasi Whatsapp.

Beliau turut mencadangkan Hamidah menyemak kembali setiap persidangan Dewan selepas PH membentuk kerajaan pada Pilihan Raya ke-14.

“Tidak perlu menyerang Pakatan Harapan. Itu hanya menguntungkan UMNO yang memang tidak mahu skandal itu didedahkan.

“Beliau sendiri tidak berbuat apa-apa setelah tersisih dari pentadbiran Zambry … hanya sekarang beliau terpekik-pekik mencari publisiti, “memetik kenyataan beliau.