Pesawah Dinasihat Dapatkan Benih Padi Berkualiti – Datuk Yunus

Reading Time: 3 minutes

BAGAN SERAI | Para pesawah di seluruh daerah Kerian dinasihatkan supaya mendapatkan benih-benih padi yang sah daripada pengeluar yang telah ditentukan oleh pihak kerajaan.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Perladangan dan Sekuriti Makanan Perak, Datuk Yunus Jamhari yang memberikan nasihat ini berkata, pengeluar juga harus mengeluarkan dan membekalkan benih-benih  yang benar-benar berkualiti kepada pesawah.

Beliau berkata, ini penting kerana benih adalah asas kepada penentuan mutu padi.

Menurut beliau, apa yang berlaku di kawasan Kerian dan khususnya di Bagan Serai dan Gunung Semanggol serta di kawasan berhampiran pada musim 1/2020, keadaan cuaca yang tidak menentu  di mana kering di waktu siang dan hujan di waktu malam menjadi punca kepada musuh dan serangan penyakit.

“Pembekalan air juga mengalami masalah kerana keadaan kekurangan air semasa bendang perlukan air.

“Kesannya sebahagian besar kawasan tanaman padi di kawasan Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Semanggol mengalami serangan musuh dan penyakit yang serius,’’ katanya kepada media pada program Pemantauan dan Pelaksanaan Pemutuan Gred Padi Pukal musim 1/2020 di pusat pembelian benih pukal PPK Gunung Semanggol pada Khamis. Hadir sama Pengerusi PPK Kerian. Datuk Sham Mat Sahat yang juga ADUN Alor Pongsu.

Menurut Yunus, pesawah kebanyakannya akan menghantar padi yang telah dituai ke pusat belian padi PPK Gunung Semanggol, Bagan Serai, Bagan Tiang, Kuala Kurau dan Tanjung Piandang.

“Semua pusat belian padi di PPK ada membuat pemutuan padi. Ada juga pesawah menghantar padi terus ke kilang dan akan dibuat pemutuan di kilang.

“Manakala selepas 5 PPK membeli padi dari pesawah dan melaksanakan pemutuan, padi akan dihantar ke kilang-kilang berdekatan dan ada juga ke kilang di Pulau Pinang dan Kedah,’’ ujarnya.

Menurut beliau, hari ini pusat belian padi PPK Gunung Semanggol melaksanakan pemutuan sebenar ke atas padi yang dihantar oleh pesawah.

Katanya, kadar pemutuan sebenar padi adalah dalam lingkungan kadar 30 peratus-40 peratus. Namun sejak kebelakangan ini kadar adalah diantara 24 peratus-32 peratus yang banyaknya dari kawasan Selinsing.

Tambah beliau, sebelum ini di PPK Bagan Serai juga berlaku isu kadar pemutuan padi yang agak tinggi antara 30 peratus – 49 peratus dan ianya adalah pemutuan sebenar kualiti padi yang dihantar ke pusat belian padi PPK.

Beliau menjelaskan kawasan Bagan Serai dan Semanggol mempunyai 2 buah kilang padi dan lebih kurang 12 pelesen membeli padi.

“Sebelum ini PPK Bagan Serai  dan Semanggol menjual padi ke kilang di Kedah dan Pulau Pinang kerana mendapat pemutuan tawaran yang rendah.

Di PPK Gunung Semanggol

“Apabila musim  tuaian padi di Kedah dan Pulau Pinang, maka pemutuan sebenar dilakukan oleh kilang-kilang tersebut sehingga memberi kesan kepada pusat belian di negeri Perak.’’ Katanya

Yunus berkata, mengikut SOP, pemutuan hanya perlu dibuat sekali  sahaja iaitu di pusat belian padi yang pertama di pusat belian padi PPK atau kilang padi.

“Tetapi apa yang berlaku pemutuan dibuat dua kali iaitu di Pusat Belian Padi di PPK dan kilang padi.

“Saya selaku Exco yang bertanggung jawab akan cuba sedaya upaya untuk  melihat isu ini secara serius.

“Saya rasa perlu ada kesepakatan di antara semua jabatan dan agensi yang terlibat dalam industri padi, para pesawah dan pemberi perkhidmatan mekanisasi, pengangkutan dan perkilangan bagi menyelesaikan isu yang sering berlaku ini,’’ katanya.    

Dato Yunus menaiki jentera penuai padi

Beliau sebelum itu turut turun padang ke sawah padi meninjau dan mendengar taklimat berkenaan masalah penyakit padi yang dihadapi pesawah serta melawat pusat belian padi pukal di Pertubuhan Peladang Kawasan Gunung Semanggol.