Risiko Wabak Kencing Tikus: Cadangan Segera Pindah SJK(T) Wajar Dipatuhi – Aziz Bari

Reading Time: 2 minutes

IPOH: Cadangan pihak Jabatan Kesihatan supaya Sekolah Jenis Kebangsaan (T) Kampung Columbia dipindahkan segera susulan sekolah itu menjadi tempat pembiakan tikus yang semakin serius wajar dipatuhi.

Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan Sains, Alam Sekitar, Teknologi dan Penerangan, YB Prof Dr. Abdul Aziz Bari berkata, cadangan itu wajar diikuti demi menjaga menjaga kesihatan dan keselamatan murid dan guru sekolah berkenaan.

Beliau juga berpendapat tindakan menutup sekolah itu wajar diberi perhatian oleh pihak yang berkenaan sebelum langkah seterusnya diambil.

“Tapi kalau kesihatan mungkin ditutup sementara bolehlah,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis sambtuan Aidilfitri di Bangunan Perak FM, Ipoh pada Jumaat.

Menurut Abdul Aziz, beliau amat percaya selepas ini pihak sekolah mempunyai perancangan tersusun untuk memastikan proses pembelajaran murid dapat berjalan dengan lancar.

“Iyalah kalau berdasarkan kepada benda yang`absolutely necessary’ mesti ada dia punya option bagi memudahkan proses pembelajaran murid ini berjalan dengan baik,” katanya.

Beliau diminta mengulas kenyataan Pengerusi Kesihatan, Hal Ehwal Pengguna, Masyarakat Sivil, Integrasi Nasional dan Sumber Manusia Negeri, A. Sivanesan semalam bahawa Sekolah berkenaan perlu ditutup atau dipindahkan segera susulan hasil pemeriksaan Jabatan Kesihatan pada 5 Julai lalu mendapati sekolah itu menjadi tempat pembiakan tikus yang semakin serius.

Menurut Sivanesan, keadaan ini dikhuatiri mendedahkan 60 murid serta 10 guru di sekolah itu kepada risiko penyakit kencing tikus. Katanya, laporan itu menemukan kesan gigitan tikus, najis dan bau air kencing tikus di sekitar kawasan sekolah selain sebanyak 10 lubang tikus telah dikenalpasti di ruang stor, kelas pantri dan kelas komputer di sekolah tersebut.

“Oleh itu, lokasi bangunan tidak sesuai sebagai sekolah memandangkan kawasan itu dikelilingi pokok kelapa sawit dan semak samun yang menjadi tempat pembiakan tikus,” katanya.

Dalam perkembangan lain, beliau menyambut baik kenyataan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Gobind Singh Deo di Twitter bahawa pengguna Unifi sedia ada akan menikmati kelajuan sambungan internet 10 kali ganda dari pakej yang dilanggan pada masa ini.

“Ia adalah bagus supaya maklumat lebih mudah dan lebih laju dapat dicapai oleh pengguna.

“Dari segi dan keutamaan adalah memang di dalam ruang lingkup manifesto Pakatan Harapan.

“Ia adalah suatu masyarakat yang bermaklumat, sebab demokrrasi dan akauntabiliti tak boleh bergerak tanpa maklumat dapat disebar dengan cepat, tepat dan meluas, itu pra-syarat demokrasi, pra-syarat akauntabiliti, pra-syarat ketelusan. Jikalau jabatan-jabatan kerajaan nak akauntabiliti, nak efisien, dia perlukan maklumat. Dan kalau jabatan kerajaan nak telus, dia dipaksa oleh maklumat, kalau rakyat tiada maklumat, jabatan pun tak wujud.” menurut Aziz apabila diminta mengulas tentang perkara itu.