Terdedah Bahaya Najis, Kencing Tikus: SJK(T) Columbia Perlu Ditutup Segera

Reading Time: 2 minutes

IPOH: Sekolah Jenis Kebangsaan (Tamil) Columbia Air Tawar, Setiawan disahkan terdedah kepada bahaya penularan penyakit kencing tikus yang boleh mengancam keselamatan 60 murid dan 10 orang guru di sekolah berkenaan.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Hal Ehwal Pengguna, Masyarakat Sivil, Integrasi Nasional dan Sumber Manusia, A. Sivanesan berkata, berikutan kebimbangan itu pihak Jabatan Kesihatan Manjung telah mencadangkan sekolah itu ditutup bagi pembinaan sebuah sekolah yang baru di kawasan yang lebih sesuai.

Menurut Sivanesan, pada 5 Julai lalu beliau sendiri telah membuat lawatan ke sekolah berkenaan yang berusia lebih 100 tahun dan mendapati ia berada dalam suasana padat, berbau najis dan kencing tikus.

Beliau mendapati bangunan sekolah berkenaan terutama di Blok 2 yang dijadikan setor simpanan dokumen telah dicemari najis dan kencing tikus sejak sekian lama sehingga baunya menular ke seluruh kawasan sekolah.

“Saya yang membuat tinjauan di bilik Blok 2 itu tidak dapat menahan bau najis dan kencing tikus sehingga merasa pening sebaik sahaja keluar untuk ke pejabat sekolah,” katanya kepada pemberita di pejabatnya di Bangunan Perak Darul Ridzuan, Ipoh pada Khamis.

Menurut Sivanesan lagi, dalam tinjauannya terdapat 10 lubang laluan tikus di bilik simpanan setor sekolah dengan najis tikus bertaburan dan siasatan seterusnya mendapati lokasi bangunan sekolah tidak sesuai kerana terletak berhampiran ladang sawit yang menjadi kawasan pembiakan tikus.

“Hari ini saya telah menerima laporan kesihatan yang mengejutkan daripada pegawai kesihatan Manjung, Dr Hasmizal Hashim yang mencadangkan sekolah itu ditutup atau dipindahkan segera ke sekolah baru di tempat yang lebih sesuai.

“Laporan itu mencadangkan supaya perpindahan sekolah perlu dilakukan segera sebagai pencegahan awal penularan penyakit kencing tikus yang boleh mengancam kesihatan dan keselamatan murid dan guru sekolah,” ujarnya.

Sivanesan yang juga ADUN Sungkai juga meminta jasa baik bekas Presiden MIC, Datuk Seri S. Samy Vellu yang memiliki sebidang tanah kosong berhampiran sekolah berkenaan membenarkan ia digunakan untuk pembinaan sekolah baru SJK(T) Columbia.

“Bagi saya apa salahnya tanah yang sudah terbiar hampir 30 tahun itu digunakan untuk pembinaan sekolah baru demi masa depan murid-murid Tamil yang datang dari keluarga miskin ini,” ujarnya.

Selain itu, katanya, terdapat juga sebidang tanah persendirian milik seorang berbangsa Tionghua berhampiran sekolah itu.

Menurut Sivanesan, beliau akan memaklumkan segera perkara itu kepada Jabatan Pendidikan Perak hari ini sebelum menemui Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik dan Timbalan Menteri Pendidikan, Teo Nie Ching dalam masa terdekat ini.