Saranan Muslimat PAS Mansuh Sekolah Vernakular Tidak Masuk Akal, Rasis – Aziz Bari

Reading Time: 2 minutes

IPOH | EXCO Pendidikan, Sains, Teknologi dan Alam Sekitar negeri, Prof. Dr. Abdul Aziz Bari menyifatkan cadangan untuk memansuhkan sistem pendidikan vernakular sebagai cadangan yang tidak masuk akal dan bertentangan dengan kehendak Perlembagaan negara.

Katanya, ini kerana Perlembagaan negara membenarkan pembelajaran selain bahasa Melayu yang telah dinobatkan sebagai bahasa kebangsaan.

“Saya lihat cadangan ini menampakkan kejahilan selain dari sikap ekstrem atau pemikiran kanan dalam PAS itu sendiri yang saya rasa tidak sesuai dalam kalangan masyarakat majmuk Malaysia.

“Keduanya, institusi sekolah Cina dan Tamil sudah wujud lebih 60 tahun, kalau kita ambil kira sebelum merdeka, jadi tak masuk akal kalau nak mansuhkan sekolah itu,” katanya.

Abdul Aziz berkata demikian kepada pemberita dalam majlis rumah terbuka Hari Raya Aidilfitri, di sini pada Ahad.

Beliau mengingatkan bahawa bekas Menteri Besar Kelantaan, almarhum Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat pernah mengumumkan untuk mengadakan kelas bahasa Mandarin di sekolah di bawah Yayasan Islam Kelantan (YIK).

“Saya tidak tahu apa sudah jadi dengan pimpinan PAS sekarang.

“Ini menunjukkan tendency (kecenderungan) rasis, nasionalisme sempit dalam PAS yang didokong oleh pimpinan PAS sekarang,” kata Aziz.

Dalam pada itu, beliau memberi contoh seorang bekas Ahli Parlimen dari Sabah, mendiang Mark Koding yang pernah membangkitkan soal pemansuhan sekolah Cina dan Tamil.

Katanya, mendiang Mark Koding pernah mencadangkan sekolah-sekolah ini dimansuhkan sekitar tahun 1978.

“Tak silap saya sewaktu mendiang mencadangkan sekolah Cina dan Tamil dihapuskan … beliau didakwa di bawah Akta Hasutan.

“Jadi ini satu perkara yang nampak mereka tak faham politik Malaysia, jadi bagaimana kita boleh beri kepercayaan kepada parti politik ini,” kata Aziz.

Susulan itu, beliau turut menyoal apakah pendirian parti-parti komponen dalam Barisan Nasional iaitu MCA dan MIC berhubung cadangan tersebut.

Abdul Aziz yang juga Adun Tebing Tinggi mengulas tindakan PAS mendesak kerajaan Pakatan Harapan (PH) menghapuskan sistem pendidikan vernakular di negara ini kerana dasar berkenaan tidak menyumbang kepada perpaduan kaum.

Wakil Dewan Muslimat PAS, Salamiah Md. Nor berkata, sebelum mengambil alih pentadbiran Putrajaya, pemimpin PH mengatakan tidak selesa dengan sistem berkenaan.