Isu Pencerobohan & Penerokaan Haram Oleh Warga Asing Yang Disiar Oleh Akhbar Hari Ini

Reading Time: < 1 minute

Di Bukit Malut, Pulau Langkawi, Kedah

Ulasan | Saya melihat isu tersebut dalam dua konteks dan kedua-duanya adalah serius dan membimbangkan.

Pertama sebagai penggiat alam sekitar saya melihat dalam konteks alam sekitar iaitu pencerobohan, penerokaan dan pemusnahan kawasan hutan paya bakau apatah lagi sekiranya ia diwartakan sebagai Hutan Simpanan Kekal (HSK).

Sesuatu kawasan hutan paya bakau yang dimusnahkan tanpa kebenaran dan alasan yang munasabah boleh memberi kesan kepada alam sekitar dan ekologi persekitaran kerana salah-satu fungsi habitat hutan paya bakau ialah sebagai zon pelindung semula-jadi daripada kuasa fizikal alam seperti ombak yang besar, arus yang deras dan ribut taufan serta mencegah dan mengurangkan kadar hakisan pantai.

Kedua, saya melihat dalam konteks keselamatan dan kedaulatan negara. Adalah amat membimbangkan sekiranya sesuatu kawasan di dalam negara kita telah ‘dikuasai’ atau seolah-olah menjadi ‘wilayah’ dan penempatan majoriti warganegara asing apatah lagi pendatang asing tanpa izin (PATI).

Semakin lama isu penempatan warga asing tersebut dibiarkan, dibimbangi juga akan menimbulkan gejala dan isu negatif lain seperti gejala sosial dan konflik dengan masyarakat tempatan, isu perancangan dan guna tanah, isu kesihatan, persepsi pelancong terutama pelancong asing dan imej Pulau Langkawi sebagai salah-satu kawasan pelancongan yang telah dikenali di Malaysia.

Terima kaseh.

MEOR RAZAK BIN MEOR ABDUL RAHMAN
Pegawai Lapangan,
Sahabat Alam Malaysia