Sektor Pelancongan Dan Kebudayaan Di PKPB Dibenar Operasi

Reading Time: < 1 minute

KUALA LUMPUR (BERNAMA) | Kerajaan bersetuju memberikan kelonggaran bagi pembukaan sektor pelancongan dan kebudayaan di kawasan yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) berkuat kuasa esok (19 Dis), kata Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Ismail Sabri Yaakob.

Beliau berkata pembukaan sektor berkenaan merangkumi empat aspek iaitu ‘Meetings, Incentive Travel, Conferences and Exhibitions’ (MICE); produk pelancongan; pameran hasil seni budaya dan warisan; serta taman tema, pusat hiburan keluarga dan ‘indoor playground’.

“Semalam, Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) telah membentangkan cadangan prosedur operasi standard (SOP) kepada jawatankuasa teknikal.

“Bagaimanapun, jumlah kehadiran dan pengunjung bagi sektor-sektor yang dilonggarkan ini adalah tertakluk kepada 50 peratus keluasan premis dengan penjarakan fizikal,” katanya dalam sidang media perkembangan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) hari ini.

Katanya, sektor melibatkan persembahan pentas turut dibenarkan, tetapi tanpa kehadiran penonton.

“SOP terperinci boleh dirujuk dalam laman sesawang MOTAC dan Majlis Keselamatan Negara (MKN),” katanya.

Dalam pada itu, Ismail Sabri mengumumkan kerajaan juga bersetuju secara dasar untuk membenarkan pembukaan sektor sukan dan rekreasi termasuk sukan air secara berfasa berkuat kuasa Januari 2021, kecuali di kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD).

Kementerian Belia dan Sukan (KBS) membentangkan cadangan SOP kepada jawatankuasa teknikal semalam, katanya.

“Di kawasan (PKP Pemulihan) aktiviti sukan dan rekreasi adalah dibenarkan dengan mematuhi SOP sektor sukan dan rekreasi.

“Penganjuran kejohanan tempatan dibenarkan dengan kapasiti penonton 10 peratus atau maksimum 4,000 penonton,” katanya yang memberi contoh aktiviti acara larian, berbasikal dan triatlon.

Aktiviti massa yang melibatkan penyertaan melebihi 500 orang pada satu-satu masa adalah tidak dibenarkan di kawasan PKPP dan PKPB.

Selain itu, aktiviti sukan dan rekreasi kategori individu dan berpasukan bagi tujuan aktiviti latihan, permainan dan perlawanan (indoor dan outdoor) tanpa penonton di kawasan PKPB adalah dibenarkan.

Ismail Sabri menambah kapasiti pengguna bagi setiap premis yang terlibat hendaklah tidak melebihi 50 peratus kapasiti keseluruhan premis tersebut.