Di Sebalik Kejayaan Lelaki, Ada Wanita Di Belakangnya – DS Rina

Reading Time: 2 minutes

IPOH | Di sebalik kejayaan seorang lelaki, ada wanita di belakangnya, tapi di sebalik kejayaan seorang wanita, belum tentu ada lelaki di belakangnya.

Begitu kata-kata peniup semangat yang dilemparkan oleh Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Rina Harun dalam ucapannya merasmikan program Wacana Ilmu Wanita Inspirasiku (WINS) anjuran Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) di Hotel Casuarina@Meru di sini hari ini.

Beliau dalam ucapannya itu juga berkata, peranan wanita dalam negara maju menjadi semakin penting malah sebahagian besar wanita hari ini terlibat dalam pelbagai pekerjaan di luar rumah.

“Peranan wanita tidak lagi terhad sebagai ibu mahupun isteri tetapi juga dalam pelbagai aktiviti pekerjaan di luar rumah daripada aktiviti ekonomi tidak formal hingga ke bidang profesional,” katanya.

Tambahnya, peranan wanita kini semakin menyerlah dan mereka berani menceburkan diri dalam bidang-bidang yang lebih mencabar dan sofistikated.

Rina mengungkap kata-kata “tangan yang menghayun buaian kini mampu menggoncang dunia” dengan menggambarkan betapa hebatnya tanggapan masyarakat kepada wanita dan peri pentingnya peranan wanita dalam pembangunan manusia sejagat.

“Jika wanita dilengkapi ilmu pengetahuan, kemahiran dan kepakaran, mereka boleh menyumbang kepada arus perdana kehidupan dan memberi sumbangan yang amat bermakna dalam proses pembangunan negara.

“Wanita telah berusaha bersungguh-sungguh melakukan tugas-tugas yang diamanahkan sebagai ibu yang melahirkan, isteri yang menguruskan suami serta kerjaya yang menuntut ilmu dan kemahiran,” katanya semasa berucap sebelum merasmikan program tersebut.

Rina menzahirkan keyakinan beliau bahawa dengan keterlibatan wanita serta komitmen yang tinggi dari golongan wanita dalam program sedemikian akan meningkatkan martabat wanita luar bandar dalam sosioekonomi negara.

Program WINS merupakan kemuncak meraikan usahawan-usahawan KEMAS dengan memberi peluang kepada mereka menambah ilmu berkaitan perniagaan dalam talian dan membuka peluang untuk membuat pinjaman perniagaan dari Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM).

Ia adalah sebahagian dari program pemerkasaan peranan wanita dalam masyarakat dari aspek ekonomi, kesihatan dan sosial dengan kumpulan sasar termasuk beliawanis, ibu tunggal dan suri rumah untuk berkongsi pengetahuan, pengalaman serta kejayaan usahawanita.

Program di sini adalah yang ke-3 selepas Terengganu dan Kelantan. KEMAS Perak telah mendapat peruntukan untuk melaksanakan 3 siri program WINS peringkat negeri dan daerah dimana sasaran penyertaan adalah seramai 1,000 peserta.